
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani digesa agar mengkaji dan bertindak segera terhadap pindaan Perlembagaan di Parlimen yang bersesuaian bagi melindungi kedaulatan undang-undang syariah.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, susulan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini (Jumaat) yang telah mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
“Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.
“Keputusan ini telah diputuskan oleh badan perundangan di peringkat yang tertinggi dan tiada lagi proses rayuan selepas ini.
“Dalam erti kata lain, dari sudut proses undang-undang ia adalah muktamad dan mandatori. Sudah tentu ia wajar dihormati oleh semua pihak,” tegasnya kepada HarakahDaily.
Beliau turut memberitahu, sudah tentu banyak pihak berdukacita dengan keputusan ini yang sekaligus akan mencetuskan ‘domino effect’ kepada kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri yang lain dalam menggubal undang-undang syariah yang dilihat ‘bertentangan’ dengan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya menyegerakan usul pindaan Perlembagaan di Parlimen dengan memasukkan bidang kuasa jenayah di bawah Senarai III, Senarai Bersama supaya jelas memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah.
“Kerajaan sekarang sudah lebih dari stabil serta telah mendapat dua pertiga sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Saya yakin usaha ini sangat mudah dilakukan oleh pihak kerajaan, kecuali sememangnya kerajaan tidak berminat ke arah itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024











