
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor menerima enam laporan polis isu penipuan atas talian dengan menggunakan dokumen palsu Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Selangor melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM156,225, sejak awal Januari.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Polis (CP), Dato’ Hussein Omar Khan, menerusi kenyataan media di Facebook berkata, ekoran enam laporan polis di daerah Kajang, Petaling Jaya, Serdang, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, pihak polis telah membuka enam kertas siasatan dibawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, hasil dari siasatan modus operandi yang digunakan suspek menghubungi mangsa melalui talian telefon menggunakan aplikasi WhatsApp dan menyamar sebagai kakitangan APM Selangor.
“(Suspek menyamar) dengan menawarkan kerja-kerja pembekalan dan perolehan iaitu dengan menghantar surat tender projek dengan menggunakan kepala surat Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan yang ditandatangani oleh Pengarah APM Selangor yang didapati palsu.
“Mangsa diminta menandatangani borang akuan terima jika bersetuju mendapatkan projek tersebut.
“Selepas mangsa bersetuju, mangsa diminta untuk membekalkan barang-barang dan peralatan yang terdapat dalam tender dengan kadar segera dan diarahkan untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek secara atas talian,” katanya.
Namun begitu, katanya, mangsa telah ditipu apabila membuat semakan bersama pihak APM Selangor yang mendapati dokumen tersebut adalah palsu dan tawaran tender tersebut tidak wujud.
“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak melayan sebarang panggilan telefon dari orang yang tidak dikenali dan ditegaskan bahawa jabatan kerajaan tidak pernah menawarkan apa-apa tender projek melalui aplikasi WhatsApp atau apa-apa aplikasi secara dalam talian.
Orang ramai juga dinasihatkan agar membuat pengesahan terlebih dahulu dengan jabatan kerajaan yang terlibat untuk pengesahan kesahihan dokumen yang diberikan secara atas talian.
“Orang ramai boleh menghubungi mana-mana balai polis atau talian hotline Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat pertanyaan jika menerima panggilan yang mencurigakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024




















