
KUALA LUMPUR: “Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas keprihatinan Baginda Tuanku dalam menangani isu rakyat Malaysia sepanjang pemerintahan Baginda Tuanku sebagai KDYMM SPB YDPA yang keenam belas (ke-16).”
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau mengenali Baginda Tuanku sebagai seorang yang sangat teliti sebelum membuat keputusan besar yang melibatkan negara.
Hal berkenan, ujar beliau, adalah kerana Baginda Tuanku terlebih dahulu akan mendapatkan pandangan semua pihak termasuk ulama dan juga penasihat undang-undang.
“Tidak salah saya katakan, sepanjang tempoh Baginda Tuanku menjawat jawatan sebagai YDPA ke-16, bermula 31 Januari 2019 hingga 30 Januari 2024, Baginda Tuanku dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berjaya menjadi Raja dan Permaisuri di hati rakyat jelata di negara ini.
“Allahuakbar. Alhamdulillah, hari ini Baginda Tuanku dan Raja Permaisuri bersama keluarga Diraja pulang semula ke negeri Pahang Darul Makmur,” ucap beliau.
“Patik bersama rakyat negeri Pahang berasa cukup gembira dapat bersama-sama menyambut keberangkatan pulang Baginda Tuanku, Raja Permaisuri serta keluarga Diraja di Istana Abu Bakar, Pekan Pahang.
“Semoga Baginda Tuanku dan Raja Permaisuri diberkati dan dilanjutkan usia, sentiasa berada dalam keafiatan, penuh kedaulatan dan kebesaran di bawah lindungan Allah SWT di sepanjang masa,” katanya.

Agong, Permaisuri Agong berangkat pulang ke Pahang
Terdahulu, Baginda Tuanku dan Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan Dataran Parlimen pada jam 9.16 pagi menuju Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke Pahang.
Orang ramai sehubungan itu telah mengambil peluang berkumpul di sepanjang Jalan Parlimen di sini, bagi menyaksikan Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada pagi tadi.
Mereka berkumpul seawal jam 7 pagi bagi menyertai majlis lambaian kasih dan selamat tinggal kepada pasangan diraja berkenaan yang akan kembali bersemayam di Pahang.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menghadiri Istiadat Keberangkatan Balik yang bermula dari Istana Negara, sebelum berangkat ke Dataran Parlimen, sebagai simbolik tamat tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Lebih 3,000 yang terdiri daripada kakitangan kerajaan pelbagai kementerian berada di Jalan Parlimen dengan mereka memegang Jalur Gemilang. – HARAKAHDAILY 30/1/2024




















