Obor-obor: Berhati-hati ketika berada di kawasan pantai

Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika berada di kawasan pantai berikutan kemunculan obor-obor spesies Portuguese Man o’War yang boleh menyebabkan kematian, dekat sini, baru-baru ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Indutsri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, isu kehadiran obor-obor berkenaan berulang pada setiap tahun.

“Kejadian ini berlaku setiap kali Monsun Timur Laut mungkin disebabkan dibawa oleh arus deras musim tengkujuh.

“Jadi buat masa sekarang ini kita tidak mempunyai satu kaedah perubatan yang betul-betul berkesan untuk menangani isu ini.

“Jadi nasihat daripada kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan supaya pengunjung-pengunjung yang melakukan aktiviti air di kawasan pantai berhati-hati dengan kehadiran obor-obor ini yang mungkin boleh mendarat di mana-mana pantai di Terengganu,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di Pelabuhan Chendering, di sini, semalam.

Azman dalam masa sama menasihatkan sekiranya terkena sengatan segera mendapatkan rawatan di klinik dan melaporkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Pada Jumaat lepas, obor-obor berkenaan dilaporkan ditemui di Pantai Penunjuk, Kijal, Kemaman dan Rantau Abang, Dungun manakala semalam di Pantai Tok Jembal di belakang Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -