
KUALA LUMPUR: “Kita mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia. Kamu boleh usik semua benda tetapi bumi ini ada tuannya, Raja Melayu-Melayu dan Islam tidak boleh diperkotak-katikkan.”
Itu kata-kata penuh bersemangat Penyelaras Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin dalam program Himpunan Selamatkan Rakyat di depan Pintu 2 Istana Negara, Jalan Changkat Semantan, di sini, pagi tadi.
Beliau yang popular dikenali sebagai Chegubard menegaskan, PETA tanpa berselindung menyokong sebarang usaha menggembleng dan memperkukuh demokrasi, pertahan kedaulatan raja, rakyat dan tanah air.
“Rakyat berkumpul hari ini kerana kebiadapan dan kelemahan Anwar Ibrahim dan Zahid telah dipergunakan oleh DAP untuk menunggang Islam,” katanya.
Seketika selepas berkata demikian, Chegubard ditarik ke tepi oleh seorang individu namun, orang ramai tetap setia kekal menanti kehadiran beliau di situ.
Tidak lama kemudian, Chegubard hadir dan menyambung semula hebahan yang hendak disampaikan kepada rakyat Malaysia secara amnya.
“Allahuakbar, terima kasih kepada rakyat. Yang terakhir kita datang sebab apa.. kerana kebiadapan DAP memijak Melayu – Islam.

“Bersama kita hari ini, seluruh rakyat dan kita akan mengakhirkan pertemuan ini dengan munajat rakyat, setuju atau tidak? Kita berdoa hanya satu Lillah Allah yang kita ada, takbir Allahuakbar.
“Kita sujud ke bumi terdengar di langit.. mereka boleh tindas kita tetapi kita adalah manusia biasa yang punya Allah SWT. Takbir.. Takbir!,” laungnya.
Tambah beliau, himpunan tersebut bukan amaran pertama dari rakyat dan rakyat tidak takut.
“Kalau kamu jolok sarang tebuan maka tebuanlah hadiahnya. Saudara-saudara, kita datang secara aman, kita akan balik secara aman, kita doakan perjalanan. Terima kasih di atas semua.
“Kita doakan perjalanan pulang dan saya sekali lagi menyatakan bagi pihak aktivis-aktivis Malaysia bahawa parti-parti politik atau apa sahaja organisasi.. kamu hanya boleh mengubah negara dengan suara dan kuasa rakyat, betul atau tidak?
“Hidup hidup, hidup rakyat! Kita terus berdoa dan terus memasang harapan terus sedang mengharapkan yang terbaik buat tanah air ini, takbir Allahuakbar!” laungnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/1/2024




















