
KOTA BHARU: Semangat keusahawanan rakyat Kelantan terus digilap Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dato’ Sr Zamri Ismail berkata, pada penggal lalu PKINK berjaya melahirkan seramai 750 usahawan.
Katanya sepanjang tempoh 2018 sehingga 2023 PKINK menyasarkan melahirkan 1,000 usahawan.
“Sasaran itu dilaksanakan melalui Pelan Strategik awal PKINK yang diwujudkan untuk melahirkan usahawan berjaya dalam pelbagai bidang.
“Jumlah itu hampir mencapai kejayaan berikutan kesungguhan Bahagian Pembangunan Usahawan PKINK yang memantau usahawan terbabit secara berkala.
“Ada pengusaha asalnya hanya mampu menjalankan perniagaan makanan pada jumlah yang kecil, sekarang semakin berkembang maju,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya juga PKINK bertanggungjawab menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk membantu membangunkan ekonomi negeri dengan melahirkan ramai usahawan berjaya.
Kata beliau juga PKINK membimbing usahawan membangun ekonomi keluarga khususnya ketika menghadapi harga keperluan harian yang makin mahal sekarang.
“Mana-mana individu yang berminat untuk memohon sumbangan peralatan membuat kuih-muih atau seumpamanya boleh menghubungi Bahagian Usahawan PKINK,” ujarnya.
Zamri juga berkata, PKINK menyahut seruan kerajaan negeri untuk menjayakan Plan Ekonomi Digital yang dilancarkan baru-baru ini.
Tambah beliau pihaknya akan berusaha membangun ekonomi negeri dan rakyat di bawah melalui pelan tersebut. – HARAKAHDAILY 23/1/2024











