
KOTA BHARU: Keunikan warisan sejarah di Kelantan yang mempunyai 10 galeri muzium di pelbagai tempat khususnya di Kota Bharu mungkin tidak disedari orang ramai.
Warisan sejarah tersebut iaitu Muzium Negeri, Muzium Islam, Muzium Perang, Muzium Kraf, Istana Jahar, Istana Batu, Muzium Wau, Muzium Kuala Krai, Balai Seni Lukis dan Muzium Pertanian di Tumpat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Zamakhsari Muhammad berkata, muzium agak tidak popular mungkin disebabkan kurang promosi secara berterusan.
Katanya, biarpun Perbadanan Muzium Negeri Kelantan mengadakan pelbagai pameran menarik sebelum ini, namun masih kurang mendapat perhatian orang ramai.
“Oleh itu usaha untuk mempromosi perlu dilakukan secara berterusan berkaitan apa jua aktiviti muzium.
“Semua yang terlibat perlu bekerja dalam satu pasukan untuk memastikan bahan-bahan bersejarah yang terdapat di muzium menjadi tarikan orang ramai,” katanya di sini.
Sebelum ini Muzium Negeri pernah menganjurkan pameran ular, senjata lama masyarakat Melayu, seminar dan pelbagai lagi.
Baru-baru ini diadakan Kuliah Dhuha menampilkan Ustaz Mokhtar Yaakob di Muzium Negeri Kelantan.
Dan terbaharu diadakan pameran e-Sports, FIFA 19 Battle, Tekken 7 Challenge, Pertandingan Melukis dan Bola Tepuk Games.
Pameran itu diadakan di Muzium Negeri selama sebulan bermula 20 Januari sehingga 20 Mac 2024. Pameran itu dibuka jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang dan Khamis jam 8.30 pagi hingga 3.15 petang. – HARAKAHDAILY 23/1/2024











