
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi tempoh 24 jam kepada individu untuk menurunkan hantaran yang disunting mengenai penunggang p-hailing atau GrabFood di media sosial selain membuat permohonan maaf.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sekiranya hantaran itu tidak diturunkan (dipadamkan), tindakan undang-undang akan diambil.
“Sehari dua ini, saya telah melihat beberapa ‘posting’ di pelbagai platform media sosial yang mengaitkan diri saya. Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang telah disunting ini.
“Penularan kenyataan ini adalah fitnah dan berniat jahat untuk menutup kegagalan kerajaan hari ini dalam menyelesaikan masalah asas yang membelenggu para pekerja e-hailing dan p-hailing,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai hantaran mengaitkan Fayhsal dengan mendakwa kononnya beliau pernah mengajak boikot dilakukan terhadap sebuah syarikat penyelia e-hailing yang dikatakan menyokong Zionis dan penunggang p-hailing wajib mencari pekerjaan lain.
‘Berhenti jadi NATO’
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal juga mengulangi gesaan supaya Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji bagi menyelesaikan masalah ini.
Menurutnya, Menteri Kewangan merupakan ‘regulator kewangan’ yang sangat berkuasa melalui agensi-agensi di bawahnya.
“Justeru Anwar perlu menggunakan kuasa yang ada seperti mana telah digunakan ke atas syarikat-syarikat seperti Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) bagi menyelesaikan masalah berkepentingan awam.
“Jangan hanya terus menabur janji, tapi tidak mampu ditunaikan. Berhenti jadi kerajaan NATO (No Action, Talk Only),” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2024




















