
KUALA LUMPUR: Perjuangan Islam bukan lagi perjuangan mata pedang, namun perjuangan tersebut lebih mencapah sifatnya mencakupi perjuangan ekonomi umat Islam, perjuangan politik, dan juga medan dakwah.
Dari sudut politik dalam kerangka demokrasi di Malaysia, perjuangan Islam memerlukan perancangan awal yang lebih hebat era moden, perancangan dan strategi yang lebih ampuh diperlukan.
Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Negeri Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, untuk itu pembinaan insan yang menjadi pendokong kepada perjuangan Islam perlu diperkasa.
Seru beliau, pejuang-pejuang Islam perlu dilengkapkan dengan ilmu dan fakta, dan kebolehan-kebolehan semasa seperti kepetahan advokasi, ketajaman penulisan, kecanggihan teknologi dan kefahaman tentang isu-isu teknikal.
Menurut peguam itu, hari di mana pejuang-pejuang Islam hanya perlu pandai berceramah sudahpun berlalu di mana strategi yang disusun juga harus lebih mengambil kira keadaan semasa.
“Musuh-musuh tampaknya lebih kehadapan dalam pelbagai aspek. Suara mereka didengar seolah-olah merekalah yang paling berilmu dan bermaklumat. Walhal ia hanya retorik yang dilapik ‘jargon-jargon’ yang memeningkan semata-mata.
“Tindakan mereka tampak tangkas dan bingkas, walhal ia tidak lebih daripada ‘politik gambar’ dan pertunjukan media semata-mata. Maka pejuang Islam perlu memperkasa diri untuk menyaingi mereka.
“Pejuang Islam perlu terpaling ke hadapan dalam membicara isu umat – ekonomi, sosial, teknologi. Pejuang Islam perlu cakna tentang perkembangan dunia seperti keperluan Environment, Social and Governance (ESG).
“(Juga) Sustainable Development Goal (SDG), Industrial Revolution 4.0 (IR4.0), kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai lagi wacana-wacana mutakhir. Tidak boleh terhad kepada isu lapuk seperti garis panduan hiburan, pemakaian dan fikrah semata-mata,” ujarnya.
Tegas Yusfarizal, beliau tidak menyatakan perkara asas perlu ditinggalkan dan mengambil ibrah dari kisah Sultan Muhammad Al-Fatih bertanyakan tentera-tenteranya mengenai tahajud.
Maka katanya, sebegitulah asas dan pancang tarbiyah perlu diutamakan dan tidak dilupakan di mana peranan di medan dakwah melalui ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah perlu tetap diteruskan.
Namun menurut beliau, meriam, kapal perang, kuda dan kubu-kubu perlu dipersiapkan selaras peredaran zaman edan ini di mana ilmu, maklumat dan hujah adalah meriam dan pelurunya, teknologi-teknologi media sosial adalah kuda-kudanya, penulisan dan penyebaran isu adalah kubu-kubunya.
Peringat beliau, biarlah Islam menang bergaya dengan perancangan dan strategi yang tersusun, tetapi jangan kalah dek kerana perancangan dan strategi lemah sepertimana kata ungkapan yang disandar kepada Saidina Ali KW.
“Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan dengan kebatilan yang tersusun,” ujarnya mengingatkan betapa perjuangan Islam memerlukan strategi dari hadaf yang jelas, perancangan rapi, disiplin tinggi dan pelaksanaan mantap.
Tambah beliau, sejarah telah membuktikan Islam menang dengan strategi dan kaedah yang hebat sebagaimana tentera Islam memenangi perang Khandak dengan strategi mengorek parit besar bagi menghalang kemaraan tentera Ahzab.
Begitu juga imbau beliau, kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih menawan Kota Konstatinopel (kini Istanbul) dari tangan angkatan Byzantine dengan strategi dan kaedah yang menakjubkan.
“Perancangan awal seperti pembukaan Kota Rumeli untuk mengawal lalu lintas Selat Bhosporus, perjanjian-perjanjian dengan musuh-musuh Byzantine yang lain, serta pembinaan meriam-meriam dan kapal-kapal adalah penting untuk menyediakan kekuatan dan pengaruh.
“Tiada siapa menyangka kapal-kapal perang Sultan Muhammad Al-Fatih yang terhalang oleh rantai-rantai gergasi, di bawa masuk ke perairan Tanduk Emas (Golden Horn) melalui jalan darat.
“Ya, kapal diarak melalui darat. Begitu sekali kehebatan strategi tentera Islam, yang akhirnya mengecap kemenangan meninggikan kalimah Allah,” ujarnya ternyata mengagumi kehebatan penuh iktibar itu. – HARAKAHDAILY 22/1/2024











