Harimau Malaya sedia cipta sejarah kalahkan Jordan

Kim Pan Gon (kiri) dan Matthew Davies dalam sidang media di Doha, Qatar pada 14 Jan 2023. (FOTO: Facebook Football Association of Malaysia).
- Advertisement -

DOHA: “Jordan memiliki kelebihan berbanding pasukan kita (Harimau Malaya) tetapi semua pemain memiliki keyakinan dan bersedia mencipta sejarah baharu menewaskan Jordan.”

Itu ikrar pengendali  Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang berkata, strategi terbaik telah dirangka untuk mengalahkan Jordan pada aksi pertama Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub pada jam 8.30 malam esok, waktu tempatan (1.30 pagi Selasa, waktu Malaysia) yang akan disiarkan secara langsung.

- Advertisement -

Pertemuan terakhir skuad kebangsaan menentang Jordan adalah pada 6 Oktober 2021 yang menyaksikan Malaysia tewas 0-4, namun kali ini Harimau Malaya dilihat lebih bersedia

Menurut beliau, barisan kejurulatihan memiliki banyak informasi tentang pasukan Jordan dan berdasarkan itu, beliau yakin kejutan mampu dilakar anak-anak buahnya terhadap Jordan.

“Kami memiliki banyak informasi tentang pasukan jordan, termasuk pemain mereka dan saya buat kesimpulan mereka miliki kekuatan fizikal dan kemahiran individu yang bagus,” katanya dalam sidang media di sini, malam tadi yang turut menyaksikan kehadiran Kapten skuad kebangsaan, Matthew Davies.

Tambahnya, Jordan di bawah kendalian Hussein Ammouta  tidak suka permainan secara ‘build up’ tetapi lebih suka bermain ‘direct’, selain memiliki keupayaan melakukan serangan balas yang berbahaya. 

“Maka, kami telah mengenal pasti karakter permainan mereka dan sedia untuk merencana perancangan.

“Jadi… kami sangat yakin mampu halang mereka dan memberi kejutan pada mereka pada perlawanan esok (awal pagi Selasa),” tegasnya.

Sementara Matthew Davies berkata, beliau berazam membawa pasukan yang diketuainya itu layak ke pusingan 16 terbaik

“Saya mahukan kami layak ke pusingan 16 terbaik dan perlu tamatkan saingan (peringkat kumpulan) sama ada di tangga kedua ataupun ketiga.

“Kami tidak akan bermain secara negatif sebaliknya akan menekan bagi memburu gol. Kami tidak datang di sini untuk bermain bola sepak yang negatif dan menunggu sahaja. 

“Kami mahu buktikan  kami mampu beri saingan kepada pasukan di ranking lebih tinggi,” tegasnya.

Beliau menyatakan kredit harus diberikan kepada barisan kejurulatihan yang mengubah pasukan.

“Apa yang kami perlu lakukan ialah beri persembahan sebaik mungkin,” ikrar \ pemain kacukan Malaysia-Australia itu.

Terdahulu, pertemuan terakhir skuad kebangsaan menentang Jordan adalah pada 6 Oktober 2021 yang menyaksikan Malaysia tewas 0-4.

Selepas membuka tirai Piala Asia  bertemu Jordan, Harimau Malaysia bakal berhadapan dengan Bahrain (pada 20 Jan) di Stadium Jassim Bin Hamad, sebelum bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Jan.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik Piala AFC Asia.

Selepas tiga penampilan sebelum ini, yang menyaksikan pasukan negara belum mencapai kelayakan tersebut, ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.  HARAKAHDAILY  15/1/2024

- Advertisement -