Konflik perang ‘wilayah itu milik aku’

Dunia kini sedang dihidangkan dengan konflik perang Ukraine-Rusia, Hamas-Israel dan pergeseran politik China-Taiwan.
- Advertisement -

Cukuplah dunia disajikan dengan perang Rusia-Ukraine sejak 24 Februari 2022 serta pencerobohan Israel ke atas Genting Gaza, Palestin yang sudah lebih tiga bulan lamanya sebagai malapetaka kemanusiaan terakhir untuk beberapa dekad seterusnya. 

Kalau diamati dari kaca mata berbeza, sebenarnya perang Rusia-Ukraine dan Hamas-Israel yang telah mengakibatkan puluhan ribu jiwa terkorban dan kemusnahan kehidupan manusia ini berlaku di atas satu sebab utama yang sama iaitu sesebuah pihak mendakwa ‘wilayah tersebut milik mereka’. 

- Advertisement -

Kalau diamati dari kaca mata berbeza, sebenarnya perang Rusia-Ukraine dan Hamas-Israel yang telah mengakibatkan puluhan ribu jiwa terkorban dan kemusnahan kehidupan manusia ini berlaku di atas satu sebab utama yang sama iaitu sesebuah pihak mendakwa ‘wilayah tersebut milik mereka’. 

Tidak cukup dengan apa yang berlaku di Eropah Timur serta Timur Tengah itu, kita seolah-olah berhadapan pula dengan sebuah lagi konflik di Asia Timur, antara China dan Taiwan. 

Sebuah konflik yang sebenarnya telah pun berlangsung sejak pertengahan abad ke-20 dan tak ada beza kalau nak dibandingkan dengan situasi Rusia-Ukraine dan Palestin-Israel pada hari ini.

Dua hari lagi, Taiwan…

Cuma isu China-Taiwan ini masih dalam keadaan baik tanpa pertumpahan darah dan inilah yang meresahkan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Dua hari lagi, Taiwan akan menjadi tumpuan dunia apabila wilayah kepulauan itu bakal mengadakan pilihan raya presiden dan parlimen yang dijadualkan pada 13 Jan ini. 

Pemilihan Presiden Taiwan ini penting dalam mencorakkan hala tuju masa depan wilayah tersebut, sama ada ingin terus kekal aman atau memilih jalan konflik.

Kenapa saya bawakan isu Taiwan ini? Ini kerana sayamerasa amat resah sekiranya campur tangan dari negara ‘Uncle Sam’ (Amerika Syarikat) mampu menyebabkan ketegangan sehingga tercetusnya konflik bersenjata baharu di Asia. 

Umum tak boleh menafikan campur tangan AS terhadap konflik Rusia-Ukraine serta sokongan padu kepada adik angkat kesayangan mereka, Israel yang rakus menjarah bumi Gaza. 

Lelaki, perempuan, yang tua, yang muda, kanak-kanak mahupun haiwan di Semenanjunga Gaza berterusan menjadi mangsa Zionis Israel dibawah perlindungan AS.

Sementara, antara naratif AS dan sekutu baratnya dalam mendepani isu Taiwan ini ialah ‘Taiwan bukan milik China’.

Naratif ini dimainkan dalam usaha memecahkan kesatuan China, melemahkan China yang dilihat sebagai seteru utama mereka dan yang paling penting, mencetuskan konflik baharu di dunia. 

Kalau kita tidak mahu perkara ini berlaku, maka kita harus mengambil perhatian yang serius terhadap perkembangan politik di benua Asia Timur tersebut.

Suka atau pun tidak, faktanya Taiwan adalah sebahagian daripada China yang diberikan mandat untuk memerintah dengan cara tersendiri.

Ini adalah satu bentuk penghormatan daripada China. Buktinya, sehingga ke saat ini tidak ada satu peluru pun yang merobek mana-mana tanah di Taiwan meskipun kita tahu kekuatan berganda ketenteraan China itu dapat ‘memakan’ Taiwan dalam tempoh yang singkat.

‘Resolusi Formosa’

Sekilas sejarah Taiwan, Taiwan pernah berada di bawah penguasaan Dinasti Qing sejak bermulanya abad ke 17 sebelum Jepun masuk menaklukinya pada 1895. Pada 1945, China kembali membebaskan Taiwan setelah Jepun kalah perang dunia. 

Pembebasan itu telah membawa China kepada perang saudara yang diketuai Chiang Kai-Shek, seorang nasionalis dan Mao Zedong dari parti Komunis. 

Kemenangan yang berpihak pada parti Komunis pada 1945 itulah yang kini membentukk negara China. Parti ini juga telah menukar wajah China daripada negara kelas ketiga kepada kelas pertama.

Chiang Kai-Shek yang tumbang itu pula melarikan diri ke Taiwan dan memerintah di sana di bawah mandat Beijing. Sejak itu hinggalah ke saat ini Taiwan bebas bergerak mengatur masa depan negara dan menentukan polisi luar negara mereka tanpa gangguan China. 

Namun, AS yang pada ketika itu takut dengan  pengaruh komunis yang semakin menguat pada pertengahan abad ke 20 telah membuat ‘Resolusi Formosa’ yang kononnya adalah mandat dari kongres Amerika untuk mempertahankan Taiwan dari ancaman komunis China. 

Beberapa bulan lepas, Presiden China, Xi Jinping dalam kenyataannya pada pertemuan dengan Presiden AS, Joe Biden di San Francisco mengatakan bahawa China tidak ada apa-apa perancangan untuk menakluki Taiwan seperti mitos yang dilaporkan AS yang kononnya China sedang merancang tindakan ketenteraan ke atas Taiwan pada tanggal 2027 atau 2035.

Tangan-tangan konflik perang

Tuduhan demi tuduhan tak berasas Amerika ke atas China tidak boleh dijelaskan dengan bukti konkrit.Sebaliknya dunia yang disajikan dengan provokasi Amerika ke atas China sejak dulu seperti kunjungan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke Taiwan pada awal Ogos 2022.

Lawatan ini sememangnya disengajakan untuk memastikan China bertindak secara agresif, namun ia tidak berlaku.

Justeru, kita sebagai seorang Muslim sudah masak dengan perangai Amerika yang suka membuat pelbagai bentuk provokasi jahat dalam memusnahkan sesebuah negara. Tengoklah apa yang berlaku di dunia Arab. Tangan-tangan siapakah di belakang setiap konflik?

Hari ini, Amerika sekali lagi mencuba nasib untuk mencetuskan huru hara di Asia Timur. Persoalannya mengapa? Adakah ia n berkaitan dengan sokongan padu kerajaan China terhadap Palestin?

Itu belum lagi kalau mahu ulas tentang khabar angin kononnya calon bakal calon presiden Taiwan, Lai Ching Te terpalit dengan skandal mempunyai anak dari hasil hubungan terlarang. Kita berharap agar dakwaan itu tak betullah, nauzubillah.

Memandangkan hubungan Malaysia dan China berlaku di semua peringkat dan lokasinya pula hanya terpisah daripada Laut China Selatan, maka apa yang berlaku di China sudah pasti akan memberi kesan kepada Malaysia.

Oleh itu, adalah menjadi suatu kewajiban untuk kita memastikan keamanan di Asia Timur dan menghalang mana-mana cubaan kuasa besar dunia untuk memusnahkan masa depan kita.  HARAKAHDAILY  11/1/2024

Mohd Afiq Basaruddin

Mohd Afiq Basaruddin ialah Pegawai Perhubungan Antarabangsa bagi International Islamic Youth League Asia

PENAFIAN: HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia nerupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -