Gempa bumi magnitud 7.6: Tsunami di Wajima, Jepun

Kebakaran api yang sangat marak kelihatan di kawasan perumahan di bandar Wajima dalam wilayah Ishikawa di barat Jepun susulan gempa bumi magnitud 7.6 yang melanda pada hari ini, 1 Jan 2024. (FOTO: Kyodo melalui Reuters)
- Advertisement -

TOKYO: Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami untuk tiga wilayah pantai barat tengahnya selepas beberapa siri gempa bumi di Laut Jepun, satu daripadanya dengan magnitud 7.6; dan tsunami setinggi 1.2 meter (4 kaki) disahkan melanda pantai bandar Wajima, di wilayah Ishikawa.

Ombak tersebut melanda pelabuhan Wajima kira-kira 10 minit selepas berlaku gempa bumi 7.6 magnitud itu, manakala satu siri tsunami yang lebih kecil dilaporkan di tempat lain, sejauh pulau utama Hokkaido yang terletak paling utara Jepun.

- Advertisement -


Agensi Meteorologi Jepun pada hari ini, Isnin (1 Jan) sehubungan itu, telah mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah Ishikawa, Niigata dan Toyama, sementara penyiar awam Jepun, NHK memberi amaran kederasan air laut boleh mencapai setinggi 5 meter.

Sebelas gegaran ketara berlaku pada hari ini antara jam 4.06 petang dan 4.48 petang, waktu tempatan, dengan yang paling kuat, pada magnitud 7.6 pada skala seismik Jepun, direkodkan pada jam 4.10 petang di luar Semenanjung Noto, di wilayah Ishikawa; yang menyaksikan bangunan bergegar sejauh 190 batu (300km) di Tokyo.

NHK juga mengeluarkan amaran menggesa orang ramai berpindah dengan cepat ke kawasan yang lebih tinggi dan berhati-hati terhadap gegaran susulan dan tsunami selanjutnya.

Keretakan jelas kelihatan di tanah di Wajima, wilayah Ishikawa, Jeoun siang hari Isnin, 1 Jan 2024 (FOTO: AP)

Jurucakap kerajaan, Hayashi Yoshimasa, berkata dalam sidang akhbar tergempar berkata bahawa pihak berkuasa masih memeriksa tahap kerosakan dan memberi amaran kepada penduduk untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan gempa selanjutnya.

Kerajaan Jepun juga berkata, ia masih menilai tahap kerosakan yang berlaku dan sama ada terdapat sebarang korban, namun sebuah hospital di Ishikawa mula menerima pesakit-pesakit yang cedera akibat gempa bumi berkenaan.

Rakaman yang disiarkan oleh NHK kelihatan menunjukkan bangunan runtuh di Ishikawa.  Sementara, pembekal utiliti Hokuriku Electric Power berkata, lebih 36,000 isi rumah kehilangan kuasa di wilayah Ishikawa dan Toyama.

Gempa bumi yang melanda pantai Laut Jepun diketahui menyebabkan tsunami yang boleh sampai ke pantai dalam masa kurang daripada 10 minit, lebih cepat daripada gempa bumi di pantai Pasifik. 

Peta menunjukkan lokasi gempa bumi yang berlaku pada hari ini, 1 Jan 2024 di tiga wilayah pantai barat tengah Jepun.

Gempa bumi magnitud 9.0 pada 2011 telah mencetuskan tsunami yang mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum melanda pantai.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Pengawalseliaan Nuklear Jepun berkata, tiada kerosakan telah dilaporkan di loji tenaga nuklear di sepanjang Laut Jepun, termasuk lima reaktor aktif di loji Ohi dan Takahama Kansai Electric Power, di wilayah Fukui.

Loji Shika Hokuriku di Ishikawa, yang merupakan yang paling hampir dengan lokasi gempa, telah menghentikan dua reaktornya sebelum gempa untuk pemeriksaan biasa dan tidak mengalami kesan daripada gempa itu, kata agensi itu.

Jepun adalah sebuah negara yang terdedah kepada gempa bumi. Gempa bumi dan tsunami besar yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac 2011 membunuh 18,000 orang. Bencana itu memusnahkan bandar dan mencetuskan krisis nuklear di Fukushima. Hampir semua loji janakuasa nuklear Jepun telah rosak sejak bencana itu.  HARAKAHDAILY  1/1/2024

- Advertisement -