Pakej umrah cuti sekolah kolaborasi Andalusia, NUTP

Sebahagian ahli kumpulan NUTP di bawah kendalian Andalusia yang berangkat ke Makkah untuk menunaikan umrah sempena musim cuti sekolah di KLIA, Sepang, Selangor pada hari ini, 17 Dis 2023.
- Advertisement -

SEPANG: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) buat julung-julung kalinya telah menawarkan pakej menunaikan umrah kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) pada musim cuti sekolah ini (17 hingga 27 Disember) dengan harga yang berpatutan.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan NUTP bagi memberikan harga istimewa untuk mengerjakan umrah. 

- Advertisement -

Beliau yang hadir ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), turut memberitahu kerjasama antara kedua-dua belah pihak juga dapat merancang dan menarik minat lebih ramai pendidik bagi mengikuti pakej berkenaan.

Golongan pendidik kini berpeluang menikmati penawaran pakej umrah dengan harga berpatutan iaitu sekitar RM8,652 bagi mengerjakan ibadat itu pada musim cuti sekolah berbanding harga biasa yang ditawarkan iaitu melebihi RM10,000.

“Jika mereka sertai kita, ahli kesatuan itu boleh merancang memilih tarikh yang dikehendaki  mengikut perjanjian dan boleh pergi secara berkumpulan dan seterusnya mudah untuk dikawal.

“Kita akan bagi hotel terbaik selain memberi jaminan, layanan serta makan dan minum adalah bagus. 

“Kita mungkin tidak berikan hotel empat atau lima bintang, tetapi hotel tiga bintang yang bagus selain menawarkan menu masakan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pda majlis liputan media sempena keberangkatan umrah ahli kumpulan NUTP bersama Tuan Aminudin Awang (Presiden NUTP) di KLIA, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Md. Daud turut memaklumkan bahawa ahli NUTP terdiri daripada 243,000 orang,  dan 180,000 ahlinya terdiri daripada penganut beragama Islam.

Pada hari ini, seramai 71 orang pendidik dari pelbagai negeri telah menyertai umrah bagi kumpulan pertama sempena cuti sekolah pada kali ini. 

“Itu pun, tidak semua ahli yang tahu mengenai pakej yang ditawarkan oleh pihak kami setelah berkolaborasi dengan NUTP,” ujarnya.  

Sementara itu, Presiden NUTP, Aminuddin Awang ketika ditemui turut menyeru agar golongan pendidik di seluruh Malaysia dapat menyertai pakej umrah yang dijalankan bersama Andalusia selepas pihaknya merancang mengadakan siri kedua pada Januari 2025.

“Siri berikutnya dijangka dapat dilaksanakan dalam pada Januari 2025 selepas meneliti takwin persekolahan yang mana cuti sekolah ketika itu lebih panjang.

“Menariknya, melalui pakej ini, kita akan memperolehi harga lebih murah berbanding dengan agensi umrah lain memandangkan ada agensi yang telah menawarkan sehingga RM10,000.

“Bagaimanapun, kita akan dapat dengan kadar harga sekitar RM8,000 sahaja bergantung kepada jenis bilik dan ia disifatkan murah berbanding pakej luar yang lain,” katanya.  HARAKAHDAILY 17/12/2023

- Advertisement -