
KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada kewarganegaraan diberikan kepada satu generasi dalam negara ini juga melibatkan anak dan cucu ditimbulkan dalam hari terakhir sidang Dewan Negara.
Senator Hussin Ismail yang mengutarakan persoalan tersebut meminta penjelasan daripada kerajaan sambil menambah bahawa satu daripada syarat untuk menjadi warganegara negara ini ialah penggunaan bahasa.
Menurutnya, perkara tersebut merupakan satu langkah yang penting bagi mengawal pendaftaran kerakyatan yang ada di dalam negara ini.
“Saya mohon pencerahan sama ada pendaftaran warganegara satu generasi tersebut turut terpakai kepada anak dan cucu secara penguatkuasaan undang-undang atau sebaliknya?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat soalan tambahan dalam Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau juga mempersoalkan jaminan yang diberikan dalam mengawal orang yang berwarganegara luar yang mohon untuk menjadi warganegara dalam negara ini.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa satu generasi akan mendapat warganegara melalui penguatkuasaan Undang-Undang 14.1B.
Beliau memberikan satu kajian kes berkaitan Suriani Kempe, yang mana anaknya telah mendapat kewarganegaraan aecara automatik tetapi tidak terpakai kepada cucunya kerana cucunya itu akan dianggap sebagai generasi kedua.
“Namun begitu, cucunya masih boleh mohon kewarganegaraan tetapi melalui pendaftaran dan bukan secara automatik,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2023




















