
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh baru-baru ini gagal atau tidak memberi apa-apa kesan dalam menyelesaikan konflik Gaza-Isreal.
Senator Husain Awang berkata, negara-negara ahli OIC sebaliknya mempunyai kemampuan dari segi politik dan ekonomi untuk menghentikan krisis itu.
Beliau berkata, realitinya adalah sebahagian negara Islam dalam OIC mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dengan kuasa besar, Amerika yang mendokong Isreal.
“Persidangan OIC baru-baru ini dilihat laksana layang-layang melawan angin, padahal OIC boleh sahaja mengenakan sekatan politik dan ekonomi kepada negara haram itu.
“Itu pun jika ada kata sepakat dalam kalangan pemimpin mereka, tanpa bantuan ketenteraan pun mereka masih boleh memberi tekanan dengan menggunakan sumber minyak,” katanya.
Berucap ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Negara, di sini, hari ini, beliau turut menyentuh mengenai pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah.
Husain berkata, usaha tersebut kini melalui liku-liku perjuangan yang getir apabila pelaksanaan dan peruntukkan jenayah syariah di negara terus dicabar dan berisiko dibatalkan.
Tambah beliau, sistem perundangan yang diwarisi sejak zaman kesultanan Melayu diperkecilkan penggunaan pada zaman penjajahan dan diteruskan lagi dalam pentadbiran sekarang.
“Saya ingin mengajak seluruh umat Islam untuk bersatu mempertahankan Mahkamah Syariah yang sudah kecil bidang kuasanya agar tidak dicabar an diperkecilkan lagi peranannya.
“Perundangan syariah yang sedang dicabar ini tanpa henti dalam negara ketika ini merupakan satu gerakan terancang akan bergerak ke negeri lain seperti berjaya di Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2023




















