
PADANG: Sebelas pendaki maut dalam letusan Gunung Merapi di Indonesia pada Isnin (4 Dis), memaksa pihak berkuasa menghentikan operasi mencari 12 individu lain yang masih hilang.
Pegawai penyelamat berkata, mayat 11 pendaki sudah ditemui, manakala tiga lagi yang terselamat ditemui dalam keadaan hidup.
“Terdapat 26 orang yang belum dipindahkan, kami telah menemui 14 daripada mereka, tiga ditemui hidup dan 11 ditemui mati,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Abdul Malik memberitahu agensi berita, AFP.
Sementara, jurucakap pasukan mencari dan menyelamat tempatan, Jodi Haryawan berkata, pencarian dihentikan kerana letusan kecil berlaku pada Isnin.
“Ia terlalu berbahaya jika kita terus mencari (mangsa) sekarang ini,” katanya.
Letusan gunung berapi Marapi di Sumatera Barat bermula pada Ahad (3 Dis) dan menurut laporan media tempatan, kira-kira 75 pendaki terperangkap ketika itu.
Gunung berapi setinggi 2,891 meter itu memuntahkan abu setinggi 3 kilometer (9,843 kaki) ke udara, menyebabkan pihak berkuasa meningkatkan amaran ke tahap kedua tertinggi dan melarang penduduk pergi dalam lingkungan 3 km (1.86 batu) dari kawah.
Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan pendaki dipindahkan ke pusat perlindungan, dengan muka dan rambut mereka dilumuri debu gunung berapi dan hujan.
“Abu yang jatuh menutupi beberapa kampung dan menghalang cahaya matahari,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara, Abdul Muhari.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan telah mengedarkan topeng dan menggesa penduduk supaya memakai cermin mata bagi melindungi mereka daripada abu gunung berapi,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2023




















