Anugerah Kewartawanan Perlis iktiraf wartawan

- Advertisement -

KANGAR: Penganjuran Malam Anugerah Kewartawanan Perlis (MAKPs) 2023 memberi peluang kepada 15 agensi berita untuk terus menyalurkan berita yang boleh memberi nilai tambah kepada Perlis.

Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar berkata, majlis itu juga memberi penghargaan kepada pengamal media sebagai motivasi untuk meningkatkan kualiti pemberitaan.

- Advertisement -

“Antara objektif penganjuran tersebut bagi menyatukan pengamal media di Perlis, sekali gus mengangkat profesionalisme wartawan negeri ini.

“Selain itu, ia bagi menghargai pengorbanan dan penat lelah mereka yang bertungkus lumus menghasilkan penulisan terbaik bagi manfaat semua pihak.

“Ia juga bertujuan merapatkan hubungan antara pengamal media dan agensi kerajaan negeri, swasta dan pihak lain yang terlibat dalam melancarkan urusan pengamal media,” katanya pada majlis itu, malam tadi.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada MAKPs 2023 meliputi Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Terbaik; Berita Terbaik, Laporan Khas Terbaik, Rencana Terbaik, Berita TV/Radio Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik, Berita Mandarin Terbaik, Foto Terbaik, Penyampai Radio Pilihan dan Anugerah Utama Keseluruhan Terbaik.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Aduan Awam, Infrastruktur & Pengangkutan Awam, Hubungan & Kerjasama Sempadan dan Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu Perlis, Izizam Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan, Pemerkasaan Wanita, Keluarga & Masyarakat Perlis, Wan Badariah Wan Saad,

Menteri Besar Perlis diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan.

Kemuncak bagi anugerah utama keseluruhan disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mohd Hafiz Abd Mutalib dari Utusan merangkul Anugerah Keseluruhan Terbaik selepas mendapat tempat pertama bagi kategori Laporan Khas tempat kedua bagi kategori Rencana, Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Berita dan Foto.

Asyraf Muhammad juga dari Utusan memenangi tiga anugerah bagi kategori Berita dan Ekonomi (tempat pertama) dan Laporan Khas (tempat ketiga).

Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar dari Kosmo pula mendapat tempat pertama bagi kategori Rencana, tempat kedua bagi kategori Ekonomi dan Laporan Khas, manakala tempat ketiga bagi kategori Berita.

Bernama dan Harakah pula masing-masing mendapat tempat pertama dan ketiga bagi kategori Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan.

Harian Metro pula mendapat tempat ketiga bagi kategori Rencana dan portal Suara Merdeka dengan kedudukan yang sama bagi kategori Ekonomi .

Kategori Mandarin pula dimenangi oleh Sin Chew Daily bagi tempat pertama, Guang Ming Daily tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kwong Wah Yit Poh.

Anugerah Foto terbaik pula dimenangi oleh Utusan, Izlizan Othman, diikuti Mohd Hafiz Abd Mutalib (kedua) manakala tempat ketiga dimenangi oleh Chong Keat Yin dari Sin Chew Daily. – HARAKAHDAILY 4/12/2023

- Advertisement -