
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai kejayaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi setelah sembilan bulan dilaksanakan.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff juga turut meminta status kejayaan program kesejahteraan rakyat dan pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyatakan peratusan atau bilangan golongan terbabit berjaya bebas dari kepompong kemiskinan tegar terutamanya di Kelantan.
“Minta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh manakah kejayaan pelaksanaan IPR, program kesejahteran rakyat dan pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Serta berapakah peratusan daripada kumpulan sasar ini yang telah dapat keluar daripada miskin tegas terutamanya di Kelantan,” katanya dalam sidang Dewan Negara, di sini, hari ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam jawapannya berkata, hanya 273 golongan sasar di Kelantan dari kategori miskin tegar dan B40 telah menerima manfaat ditawarkan kerajaan.
Beliau berkata, individu terbabit terlibat dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan bahkan kini mampu menjana pulangan dari RM12,000 hingga RM13,000 sebulan.
Menurutnya, sebuah aplikasi dibangunkan bagi memantau hasil jualan pertanian mereka, justeru kerajaan berupaya memantau keuntungan dan kerugian yang dihadapi oleh peserta.
“Memang setiap inisiatif IPR ini kita meletakkan rantai pendapatan iaitu ia sekurang-kurangnya menjana RM2,000 sebulan dan ia dipantau melalui aplikasi setiap hari.
“Jadi, kita tahu berapa jualan hari ini, setakat ini ia berjaya cuma cabaran ialah meluaskan secepat mungkin kerana bergantung kemudahan-kemudahan diluar kawalan kementerian,” katanya.
Beliau berkata lagi, kerajaan menggunakan maklumat dari eKasih serta meneliti permohonan orang ramai untuk menyertai IPR yang membabitkan seluruh jajahan di Kelantan.
Bagaimanapun kata beliau, kerajaan terpaksa membuat banyak tapisan untuk pastikan individu yang benar-benar memerlukan dan memenuhi kriteria ditetapkan menerima manfaat itu.
“Kita guna sumber maklumat selalunya ialah (daripada) data eKasih dan dibuka kepada orang ramai itu yang meraih permohonan sehingga 129,000, selepas itu kita buat semakan silang.
“Dalam 49,000 itu mereka berada dalam senarai sedang menunggu, maka akan dipadan, pengalaman kita setelah melalui dua tiga pusing sebenarnya tidak sampai 20 peratus akan terima,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2023




















