
RANTAU PANJANG: Yayasan Petronas menyampaikan bantuan 1,500 kit keperluan asas kepada mangsa banjir di Kelantan menerusi program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana 2023.
Kit keperluan asas itu setiap satunya bernilai RM300 diberikan kepada setiap ketua keluarga yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, setiap keluarga menerima sumbangan Pakej Prihatin merangkumi keperluan asas termasuk selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral.
“Program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana 2023 adalah antara usaha berterusan Yayasan Petronas dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.
“Sumbangan tersebut diharap memberi manfaat kepada keluarga mangsa banjir yang berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sebelum itu beliau menyerah kit tersebut kepada Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud di PPS Gual Tinggi dekat sini.
Yayasan Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan bagi aktiviti menyelamat mangsa banjir.
Sumbangan terbabit bernilai RM10,000 dalam bentuk kad hadiah Petronas disampaikan kepada Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Kelantan.
Mohammad Ahmad Shazly berkata, sejak 2019 Yayasan Petronas menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM5 juta kepada penduduk yang terjejas banjir. – HARAKAHDAILY 4/12/2023











