Pindaan Cukai Pendapatan: Apa perincian E-invois?

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menerangkan tentang perincian mengenai mekanisme sistem invois elektronik (E-invois) yang dijangka berkuatkuasa pada 1 Januari 2024.

Syahir Sulaiman (PN-Bachok) berkata, kerajaan ingin membuat pindaan dalam Fasal 4, pindaan kepada Seksyen 2 Akta Cukai Pendapatan 1967 yang bertujuan untuk memasukkan takrif baharu E-invois bagi menyelaras sistem percukaian negara dan disokong dengan penggunaan nombor pengenalan cukai (TIN) yang sedia ada.

- Advertisement -

“Berapakah unjuran hasil tambahan (incremental revenue) yang bakal dipungut melalui sistem ini dalam menangani jurang ketirisan hasil, yang difahamkan dua kaedah ini diwujudkan bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), termasuklah untuk mengurangkan saiz ekonomi bayangan (shadow economy) di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan RUU Kewangan (No. 2) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Syahir juga menyentuh tentang asal 72, pindaan kepada Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, berkaitan perkongsian menjalankan operasi petroleum di bawah dua atau lebih perjanjian di kawasan-kawasan yang bersempadanan.

“Apakah strategi kerajaan untuk memastikan pindaan Akta ini kekal relevan dengan keperluan semasa industri huluan minyak dan gas, yang berdepan dengan cabaran baharu dalam proses ekplorasi, pembangunan dan pengeluaran sumber hidrokarbon ini, seterusnya memberikan manfaat kepada negeri dan negara secara lestari?” soalnya.

Selain itu, beliau juga tidak ketinggalan membahaskan tentang Fasal 92, pindaan kepada Akta Eksais 1976.

“Berkuat kuasa pada 1 April 2023, melalui pewartaan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023, duti eksais pada kadar 40 sen akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

“Sebagaimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2023, separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan. 

“Soalan saya ialah apakah tahap pematuhan industri vape untuk mendaftarkan aktiviti mereka, khususnya pengilang tempatan yang mengeluarkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin, dan mungkin boleh dijawab secara bertulis; berapakah jumlah duti eksais vape yang telah dipungut sejak Mei 2023; dan berapakah unjuran kutipan pada tahun 2024, dan berapakah jumlah yang dijangka dapat disalurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2024?” soal Syahir lagi.

“Masih berkenaan Akta Eksais, saya juga ingin bertanya Menteri, apakah pendirian kerajaan terhadap cadangan untuk menghapuskan duti eksais ke atas kereta/kenderaan bermotor, suatu janji manifesto yang pernah dijanjikan kepada anak-anak muda suatu ketika dahulu, dalam keadaan kerajaan mahu mengurangkan belanja subsidi kepada rakyat?

“Adakah cadangan ini masih berdaya maju (viable) dan bilakah kerajaan berhasrat untuk memansuhkan perkara ini bagi mengurangkan harga kereta dan meningkatkan belanja boleh guna (disposable income), sebagaimana yang pernah dijanjikan kepada rakyat dan anak muda Malaysia?” ujarnya lagi.

Akhir sekali, Syahir memperkatakan tentang objektif RUU Kewangan (No. 2). 

“Sebagaimana dinyatakan dalam Bab Permulaan kepada RUU ini, kita sedia maklum bahawa RUU ini melibatkan suatu pindaan ‘sekali gus’ terhadap 14 akta yang berkaitan dengan dasar percukaian dan hasil negara, khususnya bagi melaksanakan pelbagai langkah-langkah cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024, di samping beberapa aspek pentadbiran cukai tidak langsung.

“Sekali pandang, kebanyakan pindaan ini adalah bersifat teknikal – pindaan atau penjelasan terhadap definisi, skop, kaedah dan peraturan cukai berkaitan. Namun jika dilihat kepada punca kuasa yang terkandung dalam akta-akta ini, ternyata kuasa yang diberikan kepada seorang Menteri Kewangan itu amatlah besar.

“Maka dalam ruang lingkup RUU Kewangan ini sahaja pun sudah cukup jelas di hadapan kita betapa besarnya kuasa yang diberikan kepada seorang Menteri Kewangan – yang pastinya menuntut kepada penumpuan, penelitian, kelayakan dan tatakelola yang tinggi – dan bertambah besar apabila berlaku pemusatan kuasa apabila Perdana Menteri adalah Menteri Kewangan.

“Untuk menguruskan selok-belok ekonomi dan kewangan negara, kita perlukan pengasingan tugas, penumpuan kerja, dan fungsi semak dan imbang,” katanya.  HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -