
KUALA LUMPUR: Kegiatan ekonomi bayangan (black economic) telah mengurangkan hasil pendapatan negara.
Ekonomi bayangan ialah semua aktiviti ekonomi dalam ekonomi tertentu yang berlaku di luar atau melanggar undang-undang dan peraturan masyarakat yang lazim.
Dato’ Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, justeru menerusi pindaan 14 akta dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan (2) 2023, ia bakal melonjakkan lagi pendapatan negara.
“Dalam pindaan RUU ini, ia melibatkan 14 akta dan juga 142 fasal yang merangkumi cukai individu, cukai korporat, cukai keuntungan modal, ‘electronic invoice’ (invois elektronik/E-invois), Global Minimum Tax, Duti Setem & Cukai Keuntungan Harta Tanah, Cukai Pendapatan Petroleum, Pentadbiran Cukai dan Cukai Tidak langsung.
“Pindaan RUU ini diharapkan berjaya untuk menambahbaik dan memperkemaskan pentadbiran cukai langsung dan tidak langsung di samping mencari sumber baharu dalam menggantikan cukai sebagai sumber utama pendapatan negara,” katanya di Dewan Rakyat,di sini. hari ini.
Beliau juga menyentuh berkaitan Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) mengenai Sistem invois elektronik.
“Pada perenggan 4(b) bertujuan meminda subseksyen 2(1) Akta 53 untuk memasukkan takrif baharu ‘electronic invoice’ ke dalam Akta 53 berbangkit daripada seksyen baharu 82c.
“Electronic invoice ini perlu diteliti kerana ia terdedah kepada scammer, di mana mereka ini tidak berdaftar sebagai sebuah syarikat jadi kita nak kenakan (charge) mereka tidak boleh.
“Ramai rakyat kita terlibat dengan perkara ini, jadi bab ini perlu diperincikan bagi mengawal perkara yang tidak diingini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2023




















