
KOTA BHARU: Kesemua pihak diharapkan tidak mengeruhkan lagi keadaan berhubung isu konsert sempena pesta Loy Krathong yang telah diadakan di Wat Pathumviharn, Bachok, Jumaat lalu.
Ketua sami, Phor Than Plen berkata, konsert yang telah diadakan itu merupakan acara sambutan salah satu perayaan utama kaum Siam yang dipanggil Loy Krathong.
Katanya, perayaan Loy Krathong telah diadakan selama 29 tahun di Wat Pathumviharn dan dianggap oleh masyarakat Siam sebagai satu acara tahunan yang amat meriah.
“Kami amat berharap semua pihak tidak lagi mengeruhkan air yang sudah lama jernih, kerana apabila air sudah keruh, semua orang tidak akan nampak apa-apa, tiada tujuan untuk digapai.
“Saya khuatir isu akan menjadi lebih besar, dan mengeruhkan suasana harmoni di antara kaum di Kelantan, dan memberi imej yang tidak baik kepada Wat Pathumviharn dan kita rakyat Kelantan memang terkenal dengan semangat bersepakat, walaupun berlainan pendapat, berlainan agama, tetapi sifat hormat-menghormati sudah diajar kepada kami sejak sekian lama.
“Untuk makluman semua, kita telah memohon kebenaran untuk acara ini dan melantik pasukan Rela untuk menjaga keamanan. Kami juga telah memohon dengan pihak polis dan menjelaskan semua yang akan kami adakan di Wat Pathumviharn,” katanya.
Beliau berkata, antara tujuan perayaan itu diadakan adalah untuk meraikan masyarakat Siam selain mengajak golongan anak muda Siam untuk bergaul bersama sami-sami serta membolehkan mereka belajar mengenai amalan agama.
“Kami amat mengalu-alukan kehadiran anak muda Siam kerana dengan cara ini mereka boleh bergaul dengan sami-sami dan mereka boleh belajar sedikit amalan agama, dan banyak lagi aktiviti lain yang mereka boleh lakukan di sini yang paling penting mereka tidak akan berasa janggal untuk datang ke wat.
“Di samping itu, persembahan nyanyian meriah dan menggembirakan sedikit sebanyak boleh melegakan tekanan hidup mereka,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 28/11/2023











