
NICE: Polis Perancis telah menahan pemain antarabangsa Algeria, Youcef Atal, yang bermain untuk kelab bola sepak Ligue 1 Nice, dalam siasatan disyaki sebagai ‘justifikasi keganasan’ selepas dia menerbitkan siaran media sosial mengenai perang Israel-Hamas.
Pendakwa raya di Nice telah membuka siasatan berikutan permintaan daripada pengawas tempatan dan Datuk Bandar Nice.
Penahanan pada hari ini, Jumaat (24 Nov) tersebut bermakna Atal kini boleh disoal siasat oleh polis dalam tahanan dan boleh didakwa, atau dibebaskan tanpa sebarang tindakan segera diambil, sebaik sahaja tempoh tahanan tamat, lapor AFP.
Pada bulan lalu, pemain pertahanan berusia 27 tahun itu digantung tujuh perlawanan atas perkara yang sama, yang dipadamkannya dengan cepat dan kemudiannya dia mengeluarkan permohonan maaf.
Atal telah pun digantung oleh kelabnya ‘sehingga diberitahu kelak’.
Di sebalik permohonan maaf pemain itu, OGC Nice berkata bahawa ia memutuskan untuk ‘mengambil tindakan segera’, sebelum sebarang sekatan yang mungkin diambil oleh badan sukan atau kehakiman, memandangkan sifat penerbitan yang dikongsi dan keseriusannya.
Pada pertengahan Oktober lalu, pendakwa raya Nice mengumumkan pembukaan siasatan ke atas ‘justifikasi keganasan’ terhadap Atal.
Terdahulu, Atal telah dikritik kerana berkongsi video daripada pendakwah Palestin di Instagram, yang dikatakan kononnya menyeru keganasan terhadap orang Yahudi. Namun, AFP tidak dapat mengesahkan kandungannya secara bebas.
Perancis, yang mempunyai populasi Yahudi dan Islam yang ramai, meningkatkan keselamatan selepas Hamas melancarkan serangan besar-besaran ke atas Israel pada 7 Okt lalu. – HARAKAHDAILY 24/11/2023




















