
BELFAST: Seorang lelaki kelahiran Belfast yang kehilangan isteri, ibunya dan beberapa ahli keluarganya yang lain akibat pengeboman Israel di Semenanjung Gaza telah disatukan semula dengan anak-anaknya di Lapangan Terbang Dublin, Ireland.
Khalid El-Estal berikrar untuk menjaga anak lelakinya, Ali yang berusia empat tahun dan anak perempuannya Sara berumur setahun, sebagai penghormatan kepada isterinya, Ashwak Jendia yang meninggal dunia bulan lalu.
Dua kanak-kanak itu meninggalkan Gaza melalui Mesir dengan bantuan daripada kerajaan Ireland.
Mereka adalah antara lebih 50 warganegara dan tanggungan Ireland-Palestin yang telah terbang ke Ireland dari Gaza dengan bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Luar Ireland.
“Akhirnya kami bersua kembali, tetapi kami kehilangan ramai ahli – ibu anak-anak saya, serta ibu dan abang saya,” kongsi El-Estal kepada pemberita di Lapangan Terbang Dublin pada Ahad (19 Nov) waktu Ireland.
“Namun, tidak mengapa, kami akan kuat dan saya akan menjaga mereka,” tegasnya.
Sehubungan itu, El-Estar berterima kasih kepada semua orang yang menyertainya di lapangan terbang Dublin dan meminta isteri dan keluarganya diingati.
“Ia adalah emosi bercampur-campur, anda tidak faham apa yang anda rasakan.
“Anak perempuan saya tidak tahu apa-apa tentang saya, kerana saya meninggalkan Gaza ketika dia baru berusia tiga bulan.

Bekerja di Arab Saudi
El-Estal meninggalkan keluarganya di Gaza untuk bekerja di luar negara ketika anak-anaknya masih kecil dengan anak sulungnya, Ali baru berumur tiga tahun tiga bulan.
Terdahulu, dia secara terbuka merayu bantuan untuk mengeluarkan anak-anaknya daripada zon perang di Gaza selepas lima ahli keluarganya terbunuh dalam serangan bom.
Isteri, ibu, abang, bapa saudara dan dua sepupu El-Estal terkorban dalam pengeboman tentera udara Israel di blok apartment kediaman mereka di Gaza.
Bercakap kepada program Sunday Sequence BBC menjelang pertemuan semula dengan anak-anaknya, El-Estal berkata: “Sudah tentu saya teruja dan gembira untuk mereka (Ali dan Sara) tetapi saya memikirkan tentang isteri saya dan betapa gembiranya jika dia bersama mereka.”
El-Estal sedang bekerja di Arab Saudi apabila isteri dan ahli keluarganya yang lain terbunuh di Gaza, sebelum dia kembali ke Belfast beberapa minggu lalu dan meminta bantuan diplomat untuk menyelamatkan anak-anaknya.

Perjalanan berbahaya
Dia memberitahu BBC tentang perjalanan anak-anaknya yang ‘sangat sukar dan berbahaya’ dalam perjalanan dari Khan Yunis di Gaza ke lintasan Rafah di sempadan Mesir.
Dengan gangguan komunikasi di wilayah itu, El-Estal hanya menunggu tanpa sebarang maklumat terkini ketika anak-anaknya dalam perjalanan tersebut.
“Mereka menghabiskan sepanjang hari di sempadan Gaza-Mesir… Saya tidak tahu apa-apa perkembangan tentang mereka sehinggalah mereka berjaya memasuki Mesir,” luahnya sayu.
Dilahirkan di Belfast, El-Estal bersekolah rendah di kawasan Botanic manakala bapanya bekerja sebagai pensyarah di Queen’s University.
Ketika dia berumur lapan tahun, keluarga itu berpindah ke Gaza, di mana dia bertemu isterinya Ashwak di universiti di negara itu.
Kumpulan pertama warga Ireland dan tanggungan mereka kembali ke Lapangan Terbang Dublin dari Gaza pada hari Sabtu (19 Nov).
Sementara itu terkini, Kementerian kesihatan Hamas di Gaza berkata lebih 12,300 orang telah terbunuh di wilayah itu sejak Israel memulakan serangan terhadap Gaza pada 7 Okt bulan lalu. – HARAKAHDAILY 21/11/2023




















