Tuduh PAS hanya untuk jadi ‘penawar’ luka hati sendiri

Muflis idea, dakwaan kitar semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS dituduh kononnya parti mullah, ayatullah, taliban dan ekstrem, sebenarnya datang dari mereka yang keterlaluan membenci, tetapi muflis idea dan gagal untuk mempengaruhi orang lain.

Mardhiyyah Johari berkata, tuduhan yang bertujuan membibitkan kebencian terhadap PAS itu sebaliknya mendapat hentaman hebat daripada pihak yang membenci kepimpinan Kerajaan Madani di negara ini.

- Advertisement -

“Kasihan orang begini. Tuduhan-tuduhan itu mungkinlah hanya ‘penawar’ hati mereka, kerana saban hari terpaksa menghadap tekanan kebencian organik kepada Madani yang tidak terbendung lagi.

“Kalau baca ribuan tulisan dan komen rakyat yang lain, mereka ini ‘stress‘ kerana realitinya, teruk Madani kena hentam hari-hari. Maka beberapa kerat tulisan itu, hanya habuan menyedapkan hati mereka,” katanya.

Ketua Pengarah Ameerah Malaysia itu menegaskan, usaha untuk PAS dipotret dengan imej taliban atau lain-lain, bukanlah hanya hari ini sahaja, bahkan telah lama, namun gagal walaupun dilakukan berkali-kali.

“Ternyata gagal! Jika tidak mana mungkin PAS boleh menang lebih daripada dua pertiga majoriti di empat negeri (Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan).

“PAS juga menjadi parti dengan mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak. Malah PAS turut mendapat kepercayaan dan memenangi banyak kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, termasuk menang di Sabah.

“Kesian juga sebenarnya. Lantik Ketua Pengarah (J-KOM) untuk mempertahankan Madani, tetapi menyumbang pertambahan jumlah kutukan secara mencanak. Tak kesian ka?

“Tuduh dan dakwa PAS dengan pelbagai dengan harapan mengurangkan sokongan rakyat terhadap PAS tetapi ternyata terbukti gagal,” tegasnya yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Kedah.

Beliau juga menjelaskan, walaupun boleh sahaja mengabaikan mereka ini dengan dunia dogmatiknya sendiri, namun penjelasannya adalah untuk mereka yang jujur menilai fakta dan mahu mengenali PAS.

Selain itu katanya, negara juga pernah menyaksikan Al-Arqam dan Al-Maunah serta beberapa lagi organisasi Islam diharamkan dan diambil tindakan tetapi usaha untuk mengharamkan PAS tidak mampu dilakukan.

Beliau selaku juga seorang pengamal undang-undang berkata, walaupun PAS dituduh parti ekstrem, tetapi hakikatnya tidak ada satu pun pergerakan PAS yang melanggar undang-undang.

Malah menurutnya, PAS yang sudah berusia 75 tahun, konsisten sejak Merdeka memilih jalan demokrasi pilihan raya dan tidak memilih ‘jihad qital‘ iaitu perang mahupun rusuhan jalanan untuk memimpin negara.

“Jika krisis politik dalaman dijadikan hujah untuk menuduh PAS parti mullah, ayatullah atau lain-lain atas sebab kononnya tidak berpuas hati dengan Presiden PAS.

“Rasanya lebih baik pergi dengar baik-baik, satu persatu tuduhan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Termasuk juga tuduhan yang dilemparkan terhadap Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh mereka yang marahkan Presiden Umno itu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor.

Kritikan dari pihak lawan juga jelas Mardhiyyah, tidak boleh dijadikan hujah untuk membuktikan sesuatu organisasi itu dipimpin secara diktator mahupun autoritarian.

Malah tegasnya, keputusan dikeluarkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah hasil mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dianggotai oleh wakil pimpinan PAS dari seluruh Malaysia.

“Tuan Guru walaupun ada kuasa sebagai Presiden, tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bersifat keputusan akhir sebelum mesyuarat selesai. Kenapa perlu adakan mesyuarat kalau Tuan Guru Presiden boleh buat keputusan seorang sahaja?

“Apabila keputusan dibuat secara mesyuarat, tuduhan ayatullah dan mullah tidak lagi relevan. Memanglah akan ada pandangan yang berbeza ketika bermesyuarat tetapi di hujungnya akan ada satu keputusan yang akan dibuat,” ulas beliau panjang lebar.

Seperkara lagi ujarnya, PAS sering dipertikaikan serta didesak berkenaan pelaksanaan hukum hudud, namun persoalan itu datangnya dari mereka yang tidak menyokong hudud dilaksanakan di Malaysia.

“Cuba tanya mereka yang bangkitkan isu kononnya ‘hudud tak buat masa 33 bulan’, sokong tak hudud dilaksanakan di Malaysia? Saya yakin mereka ini akan ‘putar Halim’ (putar cerita) sampai ke sudah dan tak akan mampu jawab.

“Kalau mereka angkat lagi isu ini, ‘hudud tak buat masa 33 bulan’, minta mereka jawab dulu soalan tu. Kalau jawab sokong, barulah relevan kamu nak sembang topik itu. Kalau kamu sendiri tak sokong, dok kalut tak ketahuan pasai apa?” bidasnya.

Dalam pada itu baginya, tiada keperluan berbahas soal hudud dengan mereka yang tidak berniat baik (bona fide), kerana dibimbangi
berlakunya tohmahan.

Jelasnya, mereka itu akan merendah atau mempertikaikan hukum Islam kerana berbahas mengenai hudud memerlukan ilmu setidak-tidaknya asas undang-undang jenayah Islam.

Selain itu katanya, hudud juga adalah bukti PAS merupakan parti yang bergerak dalam ruang lingkup demokrasi, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang walaupun 75 tahun ditubuhkan.

Sungguhpun begitu PAS katanya menghormati pelaksanaan undang-undang syariah sedia ada dan komited untuk ditambahbaikkan, selain menjadi rakyat yang mematuhi perlembagaan dan perundangan sivil sedia ada.

Dalam masa yang sama PAS juga maklum beliau, mempunyai sistem pendidikan bukan hanya kepada ahli PAS tetapi juga terbuka kepada bukan ahli.

Institusi pendidikan di bawah PAS terangnya, bukan tempat untuk survival doktrin untuk ahli PAS atau belajar berkenaan PAS sahaja.

Tetapi jelas beliau, dilaksana sebagai tanggungjawab memberi hak pendidikan yang berintegrasi Islam kepada rakyat walaupun tidak mendapat sokongan kewangan dari kerajaan

“Sekolah-sekolah kelolaan PAS seperti dari TASTI, PASTI, SRITI, SMITI dan IPT menerima pelajar-pelajar dalam kalangan rakyat Malaysia dan bukan hanya ahli PAS sahaja

“Orang PAS atau pemimpin PAS pula tidak diwajibkan hantar anak-anak ke sekolah PAS. Boleh saja buat pilihan, nak hantar anak-anak ke sekolah SK, SMK, SJKC atau international school.

“Jika PAS ekstrem, institusi pendidikan PAS dah lama mati. Orang awam tidak akan mampu terus hantar anak-anak ke PASTI dan SRITI jika anak-anak balik jadi pelik.Tapi ‘demand‘ semakin tinggi, jumlah semakin bertambah,” tegasnya lagi.

PAS juga katanya, menerima penyertaan tokoh-tokoh seperti bekas Menteri, bekas pemimpin-pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) dan Umno serta individu yang sekian lama dicop liberal dan sekular menyertai PAS.

Termasuk juga tambah Mardhiyyah lagi, ribuan permohonan keahlian baharu yang diumumkan PAS Pusat setiap bulan.

“Jika label ayatullah, mullah, taliban dan ekstrem ini berkesan, maka kita tidak akan melihat rakyat dan tokoh-tokoh ini masuk PAS. Selepas ini mungkin akan keluar perkataan-perkataan lain pula.

“Ya, ubat untuk mereka ini adalah ‘lantak pi kat hang lah‘. Tapi bagi saya cukuplah setakat ini dulu. Terlalu panjang hujah untuk menyangkal dakwaan kitar semula dari mereka yang muflis idea ini.

“Selagi tak bengkak hati kamu dengan ‘stress’ kebencian, sila teruskan,” bidas Mardhiyyah lagi. – HARAKAHDAILY 16/6/2026

- Advertisement -