
KUALA TERENGGANU: Tindakan merehatkan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar daripada tugas sebagai pengulas bola sepak di RTM selepas beliau menyerahkan borang keahlian PAS menimbulkan persoalan mengenai kebebasan berpolitik dalam negara ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih dan menyertai mana-mana parti politik yang berdaftar selaras dengan amalan demokrasi.
Menurutnya, tindakan terhadap Azlan menimbulkan kebimbangan sekiranya seseorang individu dinilai berdasarkan pegangan politik, bukannya prestasi serta kemampuan dalam melaksanakan tugas.
“Persoalannya, adakah menyertai sebuah parti politik yang sah menjadi satu kesalahan?
“Malaysia adalah negara demokrasi. Setiap rakyat berhak memilih dan menyertai mana-mana parti politik yang berdaftar.
“Jika seseorang dinilai bukan berdasarkan prestasi dan kemampuan, tetapi kerana pegangan politiknya, ia merupakan satu perkara yang membimbangkan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan NGO negeri berkata, hak untuk berpolitik perlu dihormati walaupun wujud perbezaan pandangan dan kecenderungan politik dalam kalangan masyarakat.
Katanya, profesionalisme seseorang seharusnya diukur berdasarkan kualiti kerja yang ditunjukkan, bukan berdasarkan parti politik yang disertai.
“Hari ini Azlan Johar direhatkan, esok siapa pula?
“Kita mungkin berbeza pandangan politik, tetapi hak seseorang untuk berpolitik wajib dihormati,” katanya.
Mohd Fadhli turut mengingatkan agar prinsip demokrasi tidak hanya dijadikan slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui penghormatan terhadap hak rakyat untuk membuat pilihan politik masing-masing.
“Jangan bercakap soal demokrasi jika hak rakyat untuk memilih parti politik pun tidak mampu diraikan.
“Menyokong atau tidak menyokong PAS adalah soal pilihan. Tetapi mempertahankan hak rakyat untuk berpolitik adalah soal prinsip,” katanya.
Terdahulu, Harakahdaily melaporkan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar telah direhatkan daripada tugasnya sebagai pengulas sukan di RTM sempena kejohanan Piala Dunia 2026 susulan tindakannya mengumumkan menyertai parti politik PAS.
Perkara ini juga telah dibangkit dan disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“PAS ingin tahu tindakan tersebut, jika benar, apakah ia ada kaitan dengan penyertaan Azlan Johar ke dalam PAS sebagaimana yang diisytiharkan di Seremban pada 13 Jun 2026 yang lalu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Takiyuddin, tindakan merehatkan Azlan, jika benar berlaku atas alasan politik, merupakan satu bentuk penafian hak yang mengecewakan. – HARAKAHDAILY 16/6/2026











