Kena pelbagai tuduhan tapi PAS terus dapat sokongan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalan ‘Sokong PAS dapat apa?’ sering dimainkan oleh pihak yang tidak menyukai PAS, namun parti itu tetap mendapat tempat dalam kalangan rakyat walaupun berdepan pelbagai label dan tuduhan.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, jika dilihat secara selapis, ada yang mungkin menganggap persoalan itu logik kerana PAS bukan kerajaan Persekutuan.

PAS juga menurut beliau, tidak mempunyai Perdana Menteri dan Menteri Besar daripada PAS juga tidak pernah menjanjikan projek atau habuan kepada penyokong parti itu.

Jelasnya, keadaan lebih menarik apabila PAS terus menerima sokongan rakyat meskipun sering menjadi sasaran pelbagai tuduhan.

“Ada yang menuduh PAS dipimpin oleh mullah, ada yang melabel PAS sebagai Syiah, Khawarij, Muktazilah, Wahabi, walaun, parti ajaran sesat, parti ekstrem, parti yang suka mengkafirkan orang, parti pak lebai, parti tin Milo dan bermacam-macam lagi.

“Bagi saya, semua label ini sebenarnya menjadi iklan percuma kepada PAS. Kami tidak marah, bahkan mampu tersenyum kerana kami memilih untuk menjawab dengan amalan, bukan dengan kemarahan,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perak menjelaskan, tuduhan dan tohmahan terhadap PAS bukan perkara baharu kerana ia telah berlaku sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1951.

Malah, jelasnya, ketika maklumat masih tertutup dan sebelum kemunculan media sosial, PAS tetap mampu bertahan serta berkembang.

“Apatah lagi pada zaman media sosial sekarang, segala tuduhan lebih mudah dijawab dengan fakta dan penerangan yang pantas.

“Biarlah mereka terus melabel. Kita akan terus menjawab dengan akhlak, khidmat dan perjuangan.

“Apabila orang mendengar sendiri, melihat sendiri dan mengenali PAS dari dekat, mereka akan mendapati banyak tuduhan itu tidak seperti yang digambarkan,” jelas beliau.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai turut mempersoalkan dakwaan yang mengaitkan PAS dengan kesesatan.

Beliau berhujah bahawa, jika PAS benar-benar sesat seperti yang dituduh, sukar untuk diterima bahawa ramai asatizah, ilmuwan Islam dan majoriti tuan-tuan guru pondok memberikan sokongan kepada parti itu.

“Mustahil mereka yang mendalami ilmu agama tidak mampu membezakan antara kebenaran dan kesesatan,” tegasnya.

Mengulas pengalaman berinteraksi dengan golongan muda, beliau memaklumkan sering menerima aduan daripada anak-anak muda yang berdepan tentangan ibu bapa kerana menyokong PAS.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka supaya tidak terlalu banyak berdebat dengan ibu bapa, sebaliknya menunjukkan akhlak yang baik melalui perbuatan.

“Saya selalu berpesan, jangan banyak berhujah dengan emak dan ayah. Mereka tidak akan tunduk hanya dengan hujah.

“Sebaliknya, tunjukkan akhlak yang baik, hormati mereka, rajin membantu keluarga, bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan pekerjaan serta menjadi anak yang soleh.

“Apabila mereka melihat perubahan yang baik pada diri kamu, ketika itu kamu sedang berhujah tanpa berkata-kata,” jelasnya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Beliau berpandangan, antara faktor menarik minat ramai pihak terhadap PAS ialah dasar perjuangannya jelas serta keterbukaan parti itu menerima sesiapa sahaja yang ingin bersama perjuangan tersebut.

Menurutnya, PAS tidak mengenakan tapisan yang terlalu ketat kepada individu yang ingin menjadi ahli, sebaliknya memberi kefahaman, tarbiyah dan pembinaan diri secara berterusan selepas mereka menyertai parti itu.

“Alhamdulillah, majoriti yang menyertai PAS terus istiqamah bersama perjuangan ini. Mereka masuk dengan kesedaran dan memahami risiko yang mungkin dihadapi,” terang beliau.

Idris mengakui, terdapat ahli PAS yang berdepan pelbagai cabaran termasuk kesukaran dalam perniagaan, tidak mendapat kenaikan pangkat, ditukarkan tempat kerja serta menerima tekanan kerana pendirian politik mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang.

“Mereka sedar bahawa perjuangan tidak sentiasa menjanjikan kesenangan, tetapi menuntut pengorbanan dan keteguhan prinsip,” ulasnya.

Menyentuh dakwaan kononnya PAS tidak mendapat sokongan golongan profesional, beliau menyifatkan tanggapan itu tidak berasaskan realiti sebenar.

Beliau memaklumkan ramai profesional, doktor pakar, ahli akademik, pakar dalam pelbagai bidang dan individu berpengaruh menyokong PAS sama ada secara terbuka atau di belakang tabir.

“Tidak semua mampu tampil di hadapan atas faktor kerjaya dan kedudukan masing-masing, tetapi sumbangan mereka sangat besar.

“Merekalah yang banyak menyumbang idea, pandangan strategik, kajian serta membantu menyediakan pelbagai polisi dan cadangan untuk memperkukuhkan pentadbiran dan perjuangan PAS.

“Sering kali masyarakat tidak melihat peranan mereka, tetapi kesannya dapat dirasai dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

Mengulas tohmahan bahawa PAS berlaku zalim terhadap masyarakat bukan Islam, Idris menegaskan dakwaan itu boleh dinilai berdasarkan fakta dan pengalaman sebenar.

Beliau berkata, negeri-negeri yang diperintah PAS membuktikan masyarakat bukan Islam terus dapat menjalankan kehidupan, aktiviti ekonomi, budaya dan keagamaan mereka dengan aman.

“Apa yang sering digambarkan oleh musuh politik tidak berlaku seperti yang ditakut-takutkan.

“Sebab itu, PAS tidak perlu terlalu sibuk menjawab setiap tuduhan dengan kata-kata. Rekod pentadbiran, akhlak perjuangan dan pengalaman rakyat yang hidup di bawah pemerintahan PAS adalah jawapan yang paling berkesan.

“Fitnah mungkin boleh menarik perhatian seketika, tetapi kebenaran yang dibuktikan dengan amalan akan bertahan lebih lama,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2026

- Advertisement -