
PERIKATAN Nasional (PN) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga empat mangsa yang terkorban dalam nahas tragis melibatkan sebuah treler di Kilometer 43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Tragedi ini bukan sekadar kemalangan jalan raya biasa. Ia mendedahkan kegagalan sistemik dalam pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan pengangkutan negara yang tidak boleh lagi dipandang ringan.
Siasatan awal mendapati pemandu treler terbabit mempunyai 15 rekod saman trafik dan turut didapati positif dadah jenis methamphetamine. Persoalan yang wajar ditanya ialah, bagaimana seorang pemandu berisiko tinggi masih dibenarkan mengendalikan kenderaan berat di lebuh raya awam sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya?
Perikatan Nasional menegaskan bahawa tiada kompromi boleh diberikan terhadap mana-mana pihak yang cuai atau membiarkan individu berisiko tinggi terus beroperasi. Dalam kes melibatkan kenderaan perdagangan, tanggungjawab keselamatan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pemandu, sebaliknya turut dipikul oleh syarikat pengendali serta sistem penguatkuasaan kerajaan.
Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan melaksanakan penambahbaikan berikut dengan segera:
1. Menguatkuasakan prinsip liabiliti mutlak terhadap syarikat logistik yang cuai membenarkan pemandu berisiko tinggi terus bertugas, termasuk penalti lebih berat, audit keselamatan mandatori dan tindakan terhadap permit operasi.
2. Mempercepat pelaksanaan sistem telematik dan pemantauan pintar bagi kenderaan perdagangan, termasuk penggunaan GPS dan dashcam yang membolehkan tindakan penguatkuasaan bersasar diambil sebelum tragedi berlaku.
3. Mengintegrasikan secara digital dan masa nyata rekod kesalahan antara PDRM, JPJ dan APAD bagi mewujudkan sistem amaran awal serta sekatan automatik terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang mempunyai rekod kesalahan serius atau berulang.
4. Mewajibkan saringan dadah berkala dan rawak ke atas semua pemegang lesen vokasional (GDL dan PSV), dengan penggantungan serta-merta daripada operasi sekiranya gagal ujian sehingga disahkan layak semula.
5. Memandangkan kawasan sekitar Kilometer 43 ini sering dikaitkan dengan kemalangan berulang, PN menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) menjalankan kajian menyeluruh terhadap struktur, geometri dan reka bentuk jalan di lokasi berkenaan.
Sebarang kelemahan dari aspek kejuruteraan jalan, sistem saliran, pencahayaan, papan tanda amaran, had laju atau ciri keselamatan perlu dikenal pasti dan ditambah baik dengan segera bagi mengurangkan risiko kemalangan pada masa hadapan.
Data rasmi menunjukkan sebanyak 1,457 kematian direkodkan dalam 3,500 kemalangan melibatkan lori antara tahun 2019 hingga November 2024. Statistik ini membuktikan bahawa keselamatan kenderaan perdagangan bukan lagi isu terpencil, sebaliknya menuntut reformasi yang menyeluruh dan berasaskan pencegahan.
Tragedi di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ini mesti menjadi titik perubahan. Kerajaan tidak boleh terus bertindak hanya selepas nyawa melayang. Rakyat berhak pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat, dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan hak tersebut dipelihara.
Nyawa rakyat tidak boleh diganti. Tiada kompromi terhadap kecuaian yang mengorbankan nyawa.
IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Pengerusi Lajnah Pembangunan Modal Insan & Tenaga Profesional
Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional
Ahli Parlimen Jerantut – HARAKAHDAILY 15/6/2026











