PAS bukan ancaman, fokus isu rakyat lebih utama

- Advertisement -

IPOH: Melabelkan PAS sebagai sebuah parti yang ekstremis atau menganggap kewujudannya sebagai ancaman kepada keharmonian negara adalah tidak adil dan tidak tepat, tegas Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Perak, Nur Farhana Omar.

Beliau menjelaskan bahawa, sama ada seseorang itu bersetuju atau tidak dengan PAS dari sudut politik, parti itu telah lama beroperasi dalam sistem demokrasi negara dengan menyertai pilihan raya.

- Advertisement -

PAS juga jelas beliau telah lama mentadbir negeri melalui proses yang diperuntukkan Perlembagaan serta mengambil bahagian dalam demokrasi berparlimen seperti parti politik lain.

Menurutnya, perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam sesebuah demokrasi, namun ia seharusnya dinilai berdasarkan dasar dan prestasi, bukannya berasaskan ketakutan serta stereotaip.

Nur Farhana berpandangan, rakyat Malaysia kini sedang berdepan pelbagai cabaran yang lebih mendesak.

“Kos sara hidup yang semakin meningkat, kemampuan memiliki rumah, gaji yang tidak berkembang seiring keperluan hidup, ketidaktentuan ekonomi.

“(Termasuk) tekanan terhadap sistem kesihatan awam, isu pendidikan serta persoalan tadbir urus menjejaskan jutaan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.

“Inilah perkara yang sewajarnya diberikan perhatian lebih besar oleh para pemimpin negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat Malaysia cukup matang untuk membezakan antara kebimbangan sebenar dengan gangguan politik yang sengaja diwujudkan.

Tambahnya, rakyat tidak memerlukan cerita menakutkan yang berterusan mengenai dakwaan kononnya negara bakal diambil alih oleh golongan Islamis.

“Sebaliknya, mereka mahukan pemimpin yang mampu menawarkan penyelesaian, memperkukuh institusi, mewujudkan peluang serta mentadbir dengan penuh integriti.

“Politik tidak sepatutnya menjadi medan untuk mencipta ketakutan. Politik seharusnya menjadi wadah untuk membina kepercayaan.

“Ia tidak sepatutnya digunakan untuk meyakinkan rakyat supaya takut antara satu sama lain, sebaliknya membantu mereka bekerjasama demi kebaikan bersama,” ulasnya lagi.

Mengulas lanjut, Nur Farhana menyifatkan, kemunculan semula naratif tertentu menjelang musim pilihan raya sebagai sesuatu yang tidak menghairankan.

Beliau menjelaskan, masih terdapat ahli politik yang terus memberi amaran kepada rakyat mengenai PAS, Islam dan kononnya ancaman pelaksanaan syariah seolah-olah negara berada di ambang perubahan radikal.

“Mesej yang dibawa sering digambarkan dengan cara yang menjadikan Islam sesuatu yang perlu ditakuti, bukannya difahami.

“Hakikatnya, realiti adalah jauh berbeza. Islam bukan sesuatu yang asing daripada identiti, sejarah mahupun kerangka Perlembagaan Malaysia.

“Islam telah wujud dan berkembang seiring dengan masyarakat majmuk negara ini sejak sebelum kemerdekaan lagi,” jelasnya.

Beliau menegaskan, prinsip Islam tidak berteraskan penindasan atau pengasingan, sebaliknya berpaksikan keadilan, rahmat, akauntabiliti dan pemeliharaan maruah insan.

Menurutnya, nilai-nilai itu bukan ancaman kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama, malah menjadi asas kepada sebuah negara yang stabil serta harmoni.

Menyentuh aspek sejarah, beliau mengingatkan bahawa, Piagam Madinah yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW mengiktiraf hak pelbagai komuniti agama, menjamin perlindungan bersama, menegakkan keadilan serta mewujudkan kerangka hidup bersama secara aman dalam kalangan masyarakat berbeza latar belakang.

“Ramai sarjana menganggapnya sebagai antara contoh terawal kontrak sosial yang bersifat inklusif.

“Matlamatnya bukanlah penguasaan, tetapi pembinaan sebuah masyarakat yang berasaskan tanggungjawab, keadilan dan kewarganegaraan bersama.

“Sebab itulah saya berasa bimbang apabila Islam terus digambarkan sebagai momokan politik,” tegas beliau.

Nur Farhana turut mempersoalkan mengapa masih ada ahli politik yang menghabiskan banyak tenaga untuk memberi amaran mengenai ancaman yang dibayangkan sedangkan pelbagai masalah sebenar rakyat masih belum diselesaikan.

Beliau menambah bahawa Islam pada asasnya menyeru kepada keadilan, belas ihsan, tadbir urus yang baik dan perlindungan terhadap kebajikan masyarakat.

“Nilai-nilai ini memberi manfaat kepada semua, sama ada Muslim mahupun bukan Muslim.

“Sebuah negara yang yakin dengan dirinya tidak sepatutnya takut kepada nilai-nilai tersebut.

“Sebaliknya, kita seharusnya menilai sama ada para pemimpin, tanpa mengira parti, benar-benar mampu menterjemahkannya dalam pentadbiran dan dasar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2026

- Advertisement -