
KUALA LUMPUR: Tindakan merehatkan pengulas sukan RTM, Azlan Johar semata-mata kerana penyertaannya dalam PAS adalah sesuatu yang tidak wajar serta bercanggah dengan semangat kebebasan dan keterbukaan sering dilaungkan parti politik.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, Azlan merupakan individu dikenali dalam arena bola sepak tanah air serta mempunyai pengalaman luas melayakkannya mengulas berdasar kepakaran dan rekod dalam sukan tersebut.
Menurut beliau, rakyat mengikuti ulasan sukan kerana mahu mendapatkan pandangan bernas, analisis tepat serta pengalaman sebenar daripada mereka yang pernah berada di atas padang, bukannya menilai kecenderungan politik seseorang pengulas.
“Persoalannya, apakah kaitan keahlian politik seseorang dengan kemampuannya mengulas perlawanan bola sepak? Penonton tidak memilih pengulas berdasarkan parti politik yang disertainya.
“Tetapi berdasarkan ilmu, pengalaman dan kemampuan menyampaikan ulasan yang berkualiti,” ujar Dr Mohd Mazri yang juga seorang pakar perubatan jantung.
Beliau berkata, sekiranya perkara tersebut benar, ia menimbulkan persoalan besar mengenai komitmen terhadap prinsip kebebasan media dan hak rakyat untuk berbeza pandangan politik.
Menurutnya, selama ini pelbagai pihak sering menekankan nilai keterbukaan, kepelbagaian pandangan dan kebebasan bersuara, namun apabila seseorang memilih haluan politik berbeza, timbul pula tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai bentuk diskriminasi politik.
“Ini bukan soal mengulas politik atau membincangkan dasar kerajaan. Ini soal bola sepak, Piala Dunia dan perlawanan di atas padang. Tidak ada kaitan dengan kempen pilihan raya atau perbahasan politik,” ujarnya.
Dr Mohd Mazri menegaskan, jika seorang bekas pemain kebangsaan yang mempunyai kredibiliti dalam bidang sukan boleh diketepikan atas faktor politik, ia memberi isyarat tidak sihat terhadap perkembangan demokrasi dan kebebasan dalam negara.
Kata beliau, Malaysia seharusnya bergerak ke arah budaya politik yang lebih matang, di mana seseorang dihormati berdasarkan kemampuan dan profesionalismenya, bukan dinilai berdasarkan kecenderungan politik dipegang.
“Rakyat berhak menilai mutu seseorang pengulas berdasarkan kualiti ulasan yang diberikan dan bukannya warna politik yang menjadi pilihannya.
“Jika benar perkara ini berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan persepsi terhadap kebebasan media, malah memberi gambaran bahawa perbezaan politik masih menjadi faktor yang boleh membataskan ruang seseorang untuk menyumbang dalam bidang kepakarannya.
“Bola sepak sepatutnya menjadi medan penyatuan rakyat, bukannya mangsa kepada perbezaan fahaman politik,” katanya mengulas Azlan yang secara rasmi menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS dalam satu majlis yang diadakan di Seremban.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyertaan 14 lagi tokoh politik dan profesional daripada pelbagai latar belakang yang memilih untuk bersama PAS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang. – HARAKAHDAILY 16/6/2026











