
KUALA LUMPUR: BERSATU digesa mengambil langkah berani keluar daripada Perikatan Nasional (PN) secara teratur demi memelihara maruah politiknya daripada terus dilihat sekadar ‘menumpang’ kekuatan jentera dan pengaruh akar umbi PAS.
Penganalisis politik, Dr Mukhtaruddin Musa berkata, krisis dalaman yang melanda gabungan berkenaan kini berada pada tahap paling semakin sukar disembunyikan oleh mana-mana kepimpinan parti komponen.
Beliau menjelaskan bahawa realiti politik semasa pasca pemberhentian kerjasama jelas menunjukkan PAS merupakan tonggak utama yang mendominasi PN menerusi penguasaan majoriti kerusi Parlimen serta pentadbiran di empat buah negeri.
“Ini adalah pandangan saya dari kaca mata orang luar. Pandangan ini mungkin boleh menyelesaikan kemelut dan memperbetulkan sesetengah pandangan orang luar tentang BERSATU.
“Krisis dalaman PN kini berada pada tahap yang semakin sukar disembunyikan. Kenyataan BERSATU untuk menggunakan logo PN walaupun diakhirnya yang berkuasa menandatangani watikah atau membenarkan penggunaan logo PN adalah Pengerusinya, iaitu dari PAS,” katanya.
Dalam hubungan antara kedua parti paling besar dalam komponen PN itu, PAS akhirnya mengumumkan keputusan parti itu menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta pada 8 Jun lalu.
Keputusan itu sekali gus mencetuskan polemik undang-undang dan teknikal mengenai status kedudukan BERSATU dalam struktur Perlembagaan PN setelah pula ketiadaan sokongan padu daripada jentera PAS.
Jentera PAS yang terkenal dengan kekuatan mobilisasi logistik dan pengaruh luar biasa dalam kalangan pengundi Melayu, dilihat bakal melumpuhkan keupayaan kompetitif BERSATU dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Pengaruh BERSATU semakin mengecil
Dr Mukhtaruddin menegaskan bahawa BERSATU perlu jujur dalam menilai kedudukan serta survival politik semasa mereka selepas tidak lagi mendapat sokongan daripada rakan komponen utamanya itu.
Beliau menambah, kedudukan dominan PAS ketika ini turut diakui oleh parti komponen PN yang lain yang memilih untuk menerima realiti kekuatan parti Islam berkenaan.
“Realiti politik menunjukkan dengan jelas bahawa PAS mempunyai kekuatan jentera, pengaruh akar umbi dan keyakinan pengundi Melayu terutamanya yang nampak bahawa PAS mempunyai integriti dan berprinsip.
“Penerimaan rakyat terhadap PN banyak dipengaruhi oleh faktor tersebut. Buktinya, PAS memerintah 4 negeri, banyak kerusi di Perak dan hampir memerintah Pahang. PAS juga adalah parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam parlimen.
“Melihat fakta ini, BERSATU perlu jujur menilai kedudukannya dalam PN. Persoalannya mudah: adakah BERSATU merasakan bahawa mereka masih berpengaruh terutamanya selepas diputuskan hubungan dengan rakan dalam PN, PAS.
“Adakah mereka tidak nampak bahawa pengaruh mereka semakin mengecil? Hakikat bahawa PAS kini lebih dominan turut dapat dibaca melalui sikap parti-parti komponen lain seperti yang lebih cenderung menerima realiti kekuatan PAS dalam PN.
“PAS bukan lagi sekadar rakan komponen biasa, tetapi telah menjadi tonggak utama kekuatan PN,” jelas beliau.
Maruah VS isu teknikal Perlembagaan
Menurut beliau, perdebatan mengenai sama ada BERSATU boleh dipecat daripada PN secara perlembagaan atau sebaliknya hanyalah satu isu teknikal, sedangkan politik amat menuntut pembuktian nilai moral.
Beliau memberi amaran bahawa tindakan bertahan dalam jajaran yang semakin dingin hanya akan merosakkan imej pasaran BERSATU sebagai sebuah parti yang pernah menerajui Kerajaan Persekutuan.
“Perdebatan sama ada BERSATU boleh dipecat daripada PN secara perlembagaan ialah isu teknikal. Namun dalam politik, soal moral dan maruah lebih besar daripada teknikal perlembagaan semata-mata.
“Apakah maknanya kekal dalam gabungan jika kepercayaan sudah lemah, komunikasi semakin dingin, dan keputusan strategik tidak lagi benar-benar dikongsi secara setara?
“Pandangan saya, kekal dalam PN tanpa pengaruh sebenar hanya akan melemahkan imej BERSATU. Ia memberi gambaran bahawa BERSATU lebih memerlukan PN berbanding PN memerlukan BERSATU.
“Bagi sebuah parti yang pernah mengangkat dirinya sebagai pemain utama politik nasional, kedudukan seperti ini amat berbahaya. Lama-kelamaan, BERSATU akan dilihat sekadar menumpang logo, jentera dan gelombang yang digerakkan oleh PAS.
“Pilihan yang lebih bermaruah ialah BERSATU keluar daripada PN secara teratur. Tindakn ini boleh dianggap sebagai langkah strategik untuk membina semula identiti, menguji kekuatan sendiri dan menentukan hala tuju baharu tanpa terus bergantung kepada kekuatan pihak lain,” tegas beliau.
Rangka kerjasama baharu bersama IPR
Sebagai jalan keluar, Dr Mukhtaruddin mencadangkan agar BERSATU mengalih tumpuan strategik dengan memperkukuh kerjasama melalui platform Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang turut dianggotai oleh parti-parti bukan Melayu berpengaruh.
Jajaran baharu ini dicadangkan untuk diuji secara mutlak menerusi cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan bagi membuktikan sama ada BERSATU masih relevan atau sebaliknya.
“BERSATU juga wajar memperkukuh kerjasama melalui platform Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang tidak kurang hebatnya. IPR mempunyai parti URIMAI yang diketuai oleh Dr P Ramasamy, mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Juga parti MAP (Parti Kemajuan Malaysia) yang diketuai mantan Menteri P Waytha Moorthy. Jika BERSATU benar-benar mahu membina gabungan baharu, maka IPR boleh dijadikan medan pembuktian.
“Parti-parti dalam IPR boleh bergerak bersama BERSATU dan bertanding menggunakan lambang BERSATU. Ini lebih jelas, lebih jujur dan tidak menimbulkan kekeliruan dengan struktur PN. Pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan boleh menjadi ujian sebenar kepada BERSATU dan IPR.
“Jika mampu bertanding, mempertahankan deposit, meningkatkan undi atau menang, maka BERSATU boleh membuktikan bahawa ia masih relevan. Namun jika terus bergantung kepada lambang PN dan jentera PAS, tuduhan bahawa BERSATU hanya ‘penumpang’ akan semakin sukar disangkal.
“Kesimpulannya, BERSATU perlu keluar daripada PN. BERSATU perlu memilih sama terus dibayangi PAS, atau keluar dengan maruah, memperkukuh IPR dan membina semula kekuatan sendiri.
“Jika BERSATU mahu dihormati, inilah masanya untuk berdiri atas kaki sendiri. Ini kerana kuasa tanpa maruah dan prinsip bukan kuasa yang sebenar,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/6/2026











