Awasi indikator mikro ekonomi, bukan baca berita

Syahir beri pesanan kepada Menteri Ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diingat tidak mengambil ringan peningkatan statistik yang mendedahkan lebih 38,000 individu dilaporkan hilang punca pendapatan sejak awal tahun ini, termasuk lebih 7,000 pemberhentian kerja direkodkan pada April lalu.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menegaskan bahawa setiap angka yang direkodkan itu mewakili sebuah keluarga sedang terkesan, sekali gus menuntut perhatian serta-merta daripada pihak pentadbiran persekutuan.

Beliau berkata, Kementerian Ekonomi perlu berhenti sekadar mengulas perkembangan data makroekonomi, sebaliknya dituntut mengemukakan pelan intervensi yang lebih berani dan agresif bagi membela nasib rakyat, majikan dan peniaga.

“Dalam ucapan menjunjung kasih Titah Diraja tempoh hari, saya membangkitkan kepentingan ‘mengawasi’ indikator mikroekonomi, di samping menilai angka-angka makroekonomi.

“Lazimnya, kejayaan ekonomi negara diukur melalui pertumbuhan KDNK, kadar inflasi, kedudukan fiskal serta prestasi ringgit. Namun ukuran sebenar kejayaan ekonomi tidak wajar terhenti di situ.

“Kepada sahabat saya YB Menteri Ekonomi, rakyat menantikan tindakan yang lebih agresif, bukan sekadar mengulas ‘berita’ ekonomi, tetapi berani mengemukakan idea dan langkah intervensi, berpandukan data rasmi dan realiti yang dihadapi rakyat, majikan, dan peniaga,” katanya.

Walaupun indikator utama negara seperti pertumbuhan KDNK mempamerkan trend pemulihan dan kestabilan, pasaran buruh domestik pula dilaporkan mengalami tekanan susulan penutupan operasi beberapa sektor perniagaan, penyesuaian automasi, serta kos overhed yang tinggi.

Mohd Syahir menjelaskan, ketidakseimbangan pasaran buruh negara diburukkan lagi dengan isu struktur guna tenaga tidak setara dengan kemahiran (underemployment) yang menghalang Malaysia daripada mencapai potensi pertumbuhan sebenar.

Beliau turut melahirkan kegusaran berhubung trend penyusutan simpanan rakyat, peningkatan hutang isi rumah, kos perbelanjaan asas yang mencengkam golongan B40 dan M40, serta implikasi negatif skim hutang mudah dalam kalangan generasi muda.

“Manfaat pertumbuhan ekonomi mesti dirasai rakyat dan tidak terpisah daripada realiti kehidupan seharian mereka. Dalam hal ini, kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan utama rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.

“Meskipun inflasi keseluruhan dilaporkan terkawal, tekanan kos masih dirasai dalam perbelanjaan asas seperti perumahan, pendidikan dan perkhidmatan.

“Kemiskinan juga masih berterusan, termasuk kemiskinan pelbagai dimensi di kawasan bandar, manakala kebergantungan sebahagian rakyat kepada bantuan tunai (STR) masih tinggi.

“Pada masa yang sama, peningkatan hutang kad kredit dan penggunaan skim BNPL semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Perkembangan ini menuntut perhatian serius daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia agar daya tahan kewangan isi rumah tidak terus terhakis.

“Selain itu, penyusutan simpanan rakyat, peningkatan hutang isi rumah, kadar upah yang rendah serta pertumbuhan gaji yang perlahan perlu sentiasa berada dalam radar Bank Negara, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi,” jelas beliau.

Mengulas lanjut mengenai isu pemberhentian kerja, Penolong Setiausaha Agung PAS itu mengkritik sistem latihan semula tenaga kerja sedia ada yang disifatkannya masih bersifat reaktif kerana hanya digerakkan selepas sesuatu kehilangan pekerjaan berlaku.

Sehubungan itu, beliau menggariskan keperluan segera untuk melaksanakan reformasi pasaran buruh bersepadu bagi memacu produktiviti Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) serta menyediakan peluang kerjaya berkualiti tinggi demi merapatkan jurang ekonomi rakyat.

“Berbalik kepada isu pemberhentian kerja, kerajaan perlu mengambil perhatian yang lebih serius. Setiap pekerja yang kehilangan pekerjaan mesti menerima bantuan sewajarnya melalui mekanisme insurans pekerjaan, bantuan kewangan serta khidmat penempatan pekerjaan bagi membantu mereka kembali bekerja secepat mungkin.

“Perlu diakui bahawa ekonomi negara masih belum menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi yang mencukupi. Isu guna tenaga tidak setara dengan kemahiran (underemployment) terus menjadi antara faktor yang menghalang Malaysia daripada mencapai potensi pertumbuhan sebenar.

“Sistem latihan semula tenaga kerja pula masih bersifat reaktif. Kebanyakan latihan diberikan selepas seseorang kehilangan pekerjaan, bukannya sebagai langkah persediaan menghadapi risiko tersebut. Proses padanan pekerjaan juga masih belum cukup cekap dan pantas.

“Justeru, reformasi perlu dipercepatkan bagi merancakkan pertumbuhan PMKS dan industri yang lebih produktif, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta memastikan pembangunan kemahiran lebih selaras dengan keperluan masa depan pasaran buruh.

“Sekiranya isu-isu ini ditangani dengan baik, maka jurang antara angka pertumbuhan ekonomi dan realiti kehidupan rakyat dapat dirapatkan. Ketika itu, persoalan ‘Ekonomi berkembang, mengapa masih ramai hilang kerja?’ tidak lagi berbangkit.

“Ekonomi yang baik bukan sekadar ekonomi yang berkembang, tetapi ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 17/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -