
KUALA LUMPUR: Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta kerajaan memberi penjelasan berhubung pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak selari dengan kewujudan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-Lead).
Beliau berkata, i-Lead yang dahulu dikenali sebagai Cawangan Latihan Khas (CLK) dibuat susulan pemansuhan Biro Tata Negara (BTN) dan PLKN.
Katanya, sebagai antara agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), i-Lead mempunyai peranan penting dalam pengurusan serta pembangunan belia pada masa hadapan.
“Mengenai i-Lead ini, kita dimaklumkan kerajaan nak mewujudkan semula PLKN, jadi bagaimanakah nanti dia akan mungkin bertembung dengan i-Lead atau apakah mungkin ada sedikit sebanyak persamaan.
“Bagaimanakah penyelarasan antara kedua-dua agensi ini, iaitu i-Lead dan PLKN dapat dilaksanakan,” katanya pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat juga membangkitkan mengenai pelaksanaan Felo Perdana sebagai program berbentuk ‘mentoring dan internship’ bagi melahirkan golongan belia yang dinamik.
Beliau berkata, media sebelum ini melaporkan peserta Felo Perdana 2023 yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan ditamatkan kerana mengemukakan sijil palsu.
Malah Afnan Hamimi turut mencadangkan kerajaan khususnya KBS agar melaksanakan program tersebut kepada peringat pentadbiran kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara.
“Felo Perdana dimaklumkan baru-baru ini ada isu di MITI, ada seorang peserta itu, dia ditamatkan terlibatan kerana memalsukan sijil jadi apa tindakan KBS supaya perkara ini tidak berulang.
“Saya nak cadangkan supaya Felo Perdana ini diperluaskan kepada kerajaan negeri dan PBT kerana penting juga untuk belia kita faham struturk dan proses pentadbiran negeri dan PBT,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023




















