Banjir mulai melanda Pasir Puteh

Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pasir Puteh dibuka kira-kira jam 11.30 pagi hari ini, 21 Niv 2203 untuk menempatkan mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Setelah hujan lebat melanda Kelantan sejak tiga hari lalu, akhirnya negeri itu mulai dilanda banjir hari ini.

Susulan itu, dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pasir Puteh dibuka kira-kira jam 11.30 pagi untuk  menempatkan mangsa mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Norsham Sulaiman berkata, dua PPS dibuka Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu menempatkan 18 mangsa banjir dari empat keluarga.

“PPS kedua di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja menempatkan dua mangsa,”  ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily di sini. 

Sehubungan itu, Norsham menasihati penduduk di DUN berkenaan supaya sentiasa berhati-hati khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan banjir bagi memudahkan sebarang tindakan dibuat.

Norsham turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja dan petang ini pula menemui mangsa banjir di PPS SK Dalam Rhu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan dan Terengganu sehingga Rabu ini.

Menurut MetMalaysia, cuaca itu dijangka melanda beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.  HARAKAHDAILY 21/11/2023

- Advertisement -