18 agensi utama PBB gesa genjatan senjata di Gaza

Antonio Guterres. (FOTO: United Nations.org)
- Advertisement -

NEW YORK: Ketua kesemua 18 agensi utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  mengeluarkan kenyataan bersama yang jarang berlaku pada Ahad menyatakan kemarahan terhadap jumlah kematian orang awam di Gaza; dan menggesa agar gencatan senjata kemanusiaan segera dalam perang Israel-Hamas.

Organisasi utama PBB itu termasuklah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Program Makanan Sedunia (WFP), dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

- Advertisement -

Ketua PBB, Antonio Guterres dalam kenyataan PBB itu berkata, selama hampir sebulan, dunia telah memerhatikan situasi yang berlaku di Israel dan Wilayah Pendudukan Palestin dalam keadaan terkejut dan ngeri melihat jumlah nyawa yang terkorban.

Kenyataan PBB itu menambah bahawa di Gaza, seluruh penduduk dikepung dan diserang, dinafikan akses kepada keperluan untuk hidup, dibom di rumah, tempat perlindungan, hospital dan tempat ibadat mereka. Ini tidak boleh diterima.

Ia menyeru Hamas untuk membebaskan lebih daripada 240 tebusan yang diculik dalam serangan mengejut terhadap Israel 7 Okt lalu, dan menggesa kedua-dua pihak untuk menghormati kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa ketika perang berlanjutan.

Pemimpin PBB itu berkata lebih banyak makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api perlu dibenarkan memasuki Gaza untuk membantu penduduknya yang terkepung ketika Israel menyerang dengan matlamat yang dinyatakan untuk memusnahkan Hamas.

“Kami memerlukan gencatan senjata kemanusiaan segera. Sudah 30 hari. Cukuplah. Ini mesti dihentikan sekarang,” tegas kenyataan itu lagi.

Tentera Israel telah membunuh hampir 9,800 orang di Gaza dalam tempoh kempen ketenteraannya terhadap Israel dan bukan setakat menyerang Gaza tetapi juga Tebing Barat, selain negara jiran Syria dan Lubnan.

Israel telah menduduki wilayah Palestin, termasuk Gaza, selama beberapa dekad dan telah melancarkan beberapa serangan sebelum ini ke atas enklaf yang dikepung itu.

Serangan semasa bermula apabila Hamas melancarkan serangan 7 Okt lalu itu, yang didakwa Israel telah mengorbankan lebih 1,400 rakyatnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -