
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi membincangkan cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pertemuan itu akan diadakan susulan kenyataan menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyebut pihaknya akan bertemu kerajaan Kelantan dalam tempoh dua minggu lagi bagi membincangkan isu tersebut.
Katanya kerajaan Kelantan akan berjumpa menteri terbabit untuk membentangkan semua perkara berkaitan KSAS.
“Kerajaan negeri sebelum ini sudah memberi maklumat lengkap secara bertulis kepada kementerian terbabit.
“Mungkin ada salah faham faham berkait dengan perkara tersebut. Sebenarnya kerajaan negeri tidak membatalkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK),” katanya kepada media ketika ditemui pada Malam Mahabbah Media Bersama Kepimpinan Kerajaan Kelantan 2023 di sini malam tadi.
Hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan barisan Exco kerajaan negeri.
Terdahulu Nik Nazmi dilapor berkata, Kerajaan Persekutuan akan mengemuka bantahan kepada Kelantan berhubung keputusan mengenai Kawasan Hutan Simpanan Kekal, kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar di negeri itu.
Dr Fadzli juga berkata, cadangan pengubahan rancangan pemajuan KSAS Kelantan tidak akan menjejaskan dasar kerajaan Persekutuan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia.
Katanya, kerajaan negeri masih mengekalkan keluasan HSK seluas 629,880.95 dan hanya mengeluarkannya daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS iaitu 514,898.73 hektar.
Menurutnya semua pihak perlu faham dan membezakan perkara tersebut.
“Saya lihat mereka menggambarkan pengubahsuaian itu sudah dilaksanakan, sedangkan ia masih di peringkat kajian dan belum berjalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2023











