“Kalau senapang itu ada unsur ganas, awal-awal lagi….” 

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

“Jikalau senapang itu mempunyai unsur keganasan, di peringkat awal lagi pengusaha tidak dibenarkan untuk mengeluarkan permainan senapang tersebut.” 

Ahli Parlimen Temerloh dari PERIKATAN NASIONAL (PN), Salamiah Mohd Nor berkata demikian ketika mengulas isu tular beberapa hari lalu susulan tindakan yang dilakukan oleh Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

- Advertisement -

Kedua-dua ahli DAP itu menggesa agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tatatertib terhadap penganjur yang didakanya telah mempamerkan ‘unsur kekerasan dan bersenjata’ di sekolah yang dikatakan terlibat dalam Minggu Solidariti Palestin.

Pada 28 Oktober lalu, Nga yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memuat naik hantaran di media sosial yang meminta tindakan dikenakan kepada pihak yang membenarkan pemakaian murid dalam program solidariti bersama Palestin memegang senjata mainan.

“Program seumpama ini hanya akan memberi mesej dan pengajaran yang salah kepada generasi muda.

“Oleh itu, DAP menggesa supaya KPM mengambil tindakan tatatertib yang tegas terhadap pihak yang menganjurkan program ini dan menghalang sebarang program seumpamanya daripada berulang,” katanya pada ketika itu.

Salamiah menegaskan arahan yang dikeluarkan oleh KPM kepada sekolah untuk mengadakan solidariti kepada Palestin adalah sesuatu yang  berpatutan dan sewajarnya. 

“Dalam situasi hari ini, kita tahu rakyat Palestin dizalimi,” katanya kepada HarakahDaily sambil mempersoalkan adakah program yang dianjurkan ini bersifat keganasan?

 “Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan keganasan? Apabila disebut dengan senapang, kita semua tahu alat itu sememangnya ada dijual di mana-mana kedai permainan.

“Oleh itu, pihak yang mengeluarkan (permainan senapang) itu sudah semestinya diberitahu lebih awal agar tidak dibenarkan menghasil dan menjualnya. Sudah semestinya, kilang permainan yang mengeluarkan senjata itu adalah untuk dijadikan permainan  oleh kanak-kanak.

“Jadi, kalau itulah dia punya kayu ukur atau penilaian keganasan, tindakan itu adalah tidak betul,” hujahnya.

Beliau turut memberitahu, jika diperhatikan ketika berlangsungnya program tersebut, apa yang dilihat adalah  guru-guru tersebut ingin membuka ruang kepada murid-murid untuk menunjukkan kreativiti masing-masing bagi menunjukkan solidariti mereka terhadap Palestin yang sedang ditindas oleh rejim Zionis Israel. 

“Sebelum ini, kita pun pernah melihat dalam program seperti perarakan kemerdekaan yang mana, peserta-peserta yang terlibat menggunakan alat-alat seperti ini untuk mengingati semula kisah-kisah \sejarah yang berlaku di tanah air.

“Kita lihat, arahan yang disampaikan itu merupakan arahan yang penuh dengan unsur yang mudah difahami oleh semua pihak,” ujarnya lagi. 

Sehubungan itu, Salamiah berkata, program itu digambarkan dua ahli DAP itu sebagai kononnya apabila anak-anak membawa senjata mainan, itu bermakna pihak penganjur telah mengajar mereka erti keganasan sedangkan ia merupakan satu kaedah untuk mengajar mereka mengenai perjuangan yang sedang ditegakkan di bumi Palestin.

“Hal ini adalah sebagai tanda kita tidak memahami sebenarnya situasi yang berlaku. Adapun arahan untuk sekolah-sekolah mengadakan solidariti Palestin ini adalah untuk menimbulkan

sikap kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah cintakan tanah air,”

“Kita sedia maklum, orang Palestin telah dihalau dari negara mereka. Mereka masih mempertahankan dan memperjuangkan tanah air dan agama mereka sehinggakan tercetusnya serangan keganasan pada masa kini yang dilakukan oleh Zionis Israel.

“Orang Palestin adalah orang Islam yang mempertahankan kota suci Allah SWT yang mana terdapatnya sebuah Masjid yang dinamakan dengan Masjid Al – Aqsa. 

“Mereka telah berjuang sudah agak lama,” jelasnya lagi. 

Oleh itu, beliau ,mahu supaya Nga dan Anthony Loke  menilai, melihat dan menyiasat apa yang sebenarnya telah berlaku sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan yang berbaur kepada kebencian kepada perkara-perkara yang telah dilaksanakan ini.

“Seharusnya pemimpin DAP ini sudah maklum tentang pendirian kerajaan Malaysia yang bersama rakyat Palestin dan menentang keganasan rejim Zionis Israel,” katanya. . – HARAKAHDAILY 3/11/2023

- Advertisement -