
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kebertanggungjawaban kerajaan khususnya Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri dalam mengemukakan Belanjawan 2024.
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan, Belanjawan adalah usul pembentangan paling mustahak kepada semua negara di seluruh dunia yang mesti diperincikan butirannya.
Belanjawan juga ujar beliau, sepatutnya dilakukan libat urus oleh Menteri Kewangan bukan hanya bersama Menteri-menteri, tetapi juga pelbagai sektor dan persatuan untuk difahami dan dilihat kesesuaiannya.
Begitu juga pertikainya surat berkaitan ralat di dalam Belanjawan itu kepada pihak pembangkang bertarikh 17 Oktober hanya diterima pada 23 Oktober sedangkan pembentangan telah diadakan pada 13 Oktober.
“Sepatutnya perkara ini adalah sesuatu yang paling mustahak dan kena lakukan secepat mungkin. Kecuali ianya berlaku after thought. Saya nak jelaskan kenapa saya kata mungkin after thought?
“Kerana selepas sahaja kita timbulkan masalah dalam perbelanjaan kita question kerajaan tentang hasil-hasil yang diterima terutamanya apabila dibentang kata ada peningkatan dari segi peratusan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan).
“Beberapa perkara telahpun diumumkan kalau tak silap saya daripada 6 peratus kepada 8 peratus kecuali telekomunikasi dan makanan itu tak naik,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat PN, di sini tengah hari tadi.
Menurut beliau, daripada penelitian pihak PN mendapati peningkatan 2 peratus SST itu hanya memberi tambahan hasil lebih kurang RM1 bilion sahaja di mana ia dirasakan tidak betul, lalu perkara itu dipersoalkan.
Maklum beliau, daripada jawapan diberi, dinyatakan terdapat ralat dalam Buku Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan yang telah dibentang di Parlimen melalui kertas perintah dikemukakan.
Katanya, terdapat ralat pada angka jumlah hasil selepas angka Belanjawan 2024 pada muka surat terakhir buku tersebut di mana jumlah keseluruhan yang diberi adalah RM30,808,400,500 tetapi selepas ralat RM31,215,900,500.
Tempelak beliau, ia adalah ralat pertama dalam sejarah dunia melibatkan pembentangan bajet dan ia hanya dinyatakan ralat setelah dipersoalkan oleh pihak pembangkang walaupun awalnya pihak kerajaan menyatakan tahu mengenai ralat itu.
“Kalau engkau betul-betul dah tahu ada perubahan. Masa bajet pembentangan bajet tersebutlah (ralat itu). Senang je. Masa ucapan kau tolong sebut,” bidasnya terhadap kepincangan itu. – HARAKAHDAILY 3/11/2023











