
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) khuatir ketidaktelitian kerajaan dalam mengemukakan pembentangan Belanjawan 2024 akan memberi kesan mendadak kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penyediaan bajet tersebut mungkin telah dibuat secara tergesa-gesa oleh pihak kerajaan dan tanpa libat urus pihak sepatutnya.
“Kerajaan kata nak turunkan defisit. Bila you nak belanja lebih, you nak turun defisit, you nak kena cari kat mana nak dapat duit? Sama ada dapat duit, sumbernya adalah untuk meningkatkan hasil. Hasil mana nak tingkatkan?
“Apakah pada waktu itu baru terfikir nak kenalkan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan)? Apa-apa cukai nak diperkenalkan perlu dibuat penuh penelitian. Bukannya dah umum dahulu, bila kita (pembangkang) tanya dah kaji sebelum?
“(Kerajaan jawab) Ooh.. kita akan bincang dengan syarikat-syarikat logistik,” ujar beliau menyifatkan pengumuman atau butiran tersebut sebagai antara ketidaktelitian dimaksudkannya.
Menurut beliau, apabila kos logistik naik daripada 0 peratus kepada 8 peratus, maka penghantaran pengilang kepada pemborong dan pemborong kepada peruncit akan masing-masing mengenakan SST sebanyak 8 peratus.
Katanya, hal tersebut akan menyebabkan kos logistik sebagai komponen paling besar menjadi tambahan tekanan kepada kos sara hidup rakyat dan boleh membawa kepada peningkatan inflasi.
“Sebab kita tak nak nanti segala perkara yang diberikan kepada rakyat bagi peningkatan bantuan, untuk bantuan rakyat dan sebagainya ini, akhirnya dimakan oleh kenaikan yang tak perlu, ataupun tak teliti ini.
“Jadi sebab itu saya kata, bila tak ada line item dalam bajet ini, ini satu persoalan besar maknanya. Biasanya bila ada perbincangan komponen cukai ini benda besar. Benda ini diteliti dengan mendalam.
“Dia tak boleh tiba-tiba nak bubuh satu line item cukai apa nama ini cukai perkhidmatan boleh bubuh. Tak ada. Perkara ini diteliti siap-siap because ini merupakan asas hasil kerajaan,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 3/11/2023











