
SEMENANJUNG GAZA: Ahli parlimen dari parti Likud yang memerintah Israel, yang juga bekas Menteri Komunikasi, Galit Distel Atbaryan menggesa Semenanjung Gaza dihapuskan dari muka bumi.
Atbaryan, yang sehingga dua minggu lalu menjadi Menteri Diplomasi Awam, memuatnaik kenyataan jahatnya di Facebook pada Rabu (1 Okt) sambil menunjukkan rakaman serangan pejuang Hamas Palestin menyerang Israel pada 7 Okt lalu.
Menurutnya, penyiaran video berkenaan di Facebooknya adalah sebagai dorongan untuk menyampaikan mesej kepada rakan-rakan Israelnya, menggesa mereka untuk menghentikan hujah dalaman dan menumpukan perhatian kepada apa yang dilabelkannya sebagai ‘raksasa’ di Gaza – merujuk khusus kepada pejuang Hamas.
“Laburkan tenaga itu dalam satu perkara,” tulisnya. “Padamkan seluruh Gaza dari muka bumi ini!”
“Gaza perlu dihapuskan,” tambahnya, sambil mengatakan bahawa ‘Nazi’ di Tebing Barat yang diduduki juga perlu disasarkan.
“Tentera Israel yang ‘pendendam dan ganas’ diperlukan, tulisnya lagi.
Pada 7 Oktober, ratusan pejuang Palestin menyerang Israel dari Semenanjung Gaza, membunuh kira-kira 1,400 warga Israel, majoriti penduduk awam.
Sejak itu, tentera Israel melancarkan kempen pengeboman tanpa henti di kawasan pesisir pantai, membunuh lebih 8,700 rakyat Palestin, termasuk lebih 3,600 kanak-kanak.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera darat Israel telah memasuki Gaza, meningkatkan serangan, namun mendapat tentangan heba daripada pejuang Hamas, khususnya dari unitnya, Al-Qassam. – HARAKAHDAILY 2/11/2023




















