PAS tidak akan jemu tarik masyarakat bukan-Melayu

- Advertisement -

APA pun mahu dikatakan terhadap PAS. Mentohmah ia sebagai parti ekstremis, parti anti bukan-Islam, parti Taliban dan pelbagai fitnah negatif lagi, realitinya PAS hari ini setelah lebih 70 tahun berpencak atas persada politik tanah air, mampu melangkah jauh ke hadapan berbanding parti-parti lain.

Satu ketika dahulu Umno umpamanya bermegah sebagai parti yang mendominasi undi masyarakat Melayu Islam. Acapkali PAS kecundang di kerusi-kerusi yang Umno memang kuat berpengaruh umpamanya di tanah-tanah rancangan FELDA, kawasan-kawasan pedalaman di Pantai Timur, kawasan kampung-kampung tradisi luar bandar dan kampung-kampung pesisir pantai di Pantai Barat, tetapi tidak lagi hari ini.

PAS hari ini memiliki 43 kerusi Parlimen menjadikan ia parti Melayu Islam paling berpengaruh di Parlimen. Jangan lupa hari ini, PAS telah menggantikan tempat Umno yang cuma tinggal 26 kerusi sebagai jurucakap umat Melayu.

Ini menunjukkan walau apa fitnah dan tohmah yang dilemparkan terhadap PAS, setelah 70 tahun berjuang, ia berjaya menangkis serangan jahat berkenaan dan kini yang penting rakyat khasnya umat Melayu Islam semakin yakin dan percaya padanya.

Kerana itu bergerak ke hadapan PAS akan terus berusaha termasuklah meyakinkan masyarakat bukan-Melayu agar bersamanya bangkit membuat dan membawa perubahan pada negara tercinta.

Itulah yang diluahkan oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Muktamar PAS ke-69 baru-baru ini di IDCC Shah Alam.

Orang Melayu, rata-rata sedar bahawa mereka tidak harus lagi mengikat dan merantai diri mereka dengan kepimpinan yang korup, pincang dan tempang. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. 

Jika Umno sudah tidak lagi mampu melahirkan kepimpinan Melayu yang berkaliber dan berkualiti seumpama Allahyarham Dato Onn Jaafar, Almarhum Tunku, Allahyarham Tun Abdul Razak, maka umat Melayu perlu berani beralih pandangan, bangkit mencari pimpinan dari parti Melayu lain pula. Itulah apa yang sebahagian besar mereka lakukan pada PRU ke-15 baru-baru ini termasuklah PRN enam negeri.

Sokongan Melayu ketara telah lari berhijrah dari memangkah Umno ke memangkah PERIKATAN NASIONAL dan PAS. Ini mereka lakukan atas kesedaran bahawa sudah terlalu mendesak, buanglah yang keruh, ambil yang jernih.

Kepimpinan Melayu yang berkualiti dan bertaqwa bukan hanya mampu dilahirkan Umno tetapi lebih-lebih lagi oleh PN dan PAS.

Penyamun dan penyakau adalah tuduhan lantang dan terbuka yang dilemparkan khasnya oleh pimpinan PH terhadap pimpinan Umno dalam kempen PRU ke-15 lalu. Setiap pimpinan mereka terutama Presiden PKR ke mana sahaja berkempen akan melontarkan tuduhan ini pada Umno bersekali menyanyi lagu popular, “Hoi Ho Ya Hoi”.

Lalu rakyat membuat keputusan bahawa berdasarkan maklumat dan perkembangan yang ada, pengundi Melayu khasnya sudah tidak boleh mendiamkan diri lagi. Dari bergelumang dengan noda dan maksiat, lebih baik bangkit membebaskan diri demi masa depan anak-anak bangsa. 

Itulah yang berlaku, cuma Umno yang nazak pasca PRU-15 itu terselamat kerana walaupun sesak nafas lantaran hanya mampu peroleh 26 kerusi, parti yang memfitnah dan memomokkan mereka iaitu PH telah menghulurkan tangan agar Umno bersama mereka membentuk kerajaan campuran dengan Presiden Umno sebagai Timbalan Perdana Menteri. Mahu tidur disorongkan bantal, tolak tepi maruah, demi kuasa melompat tinggi pimpinan Umno menerimanya. Segalanya kini jadi sejarah.

Cuma dengan realiti politik yang ada, PAS sedar ia perlu teroka jalan-jalan yang baru. Jika atas kesedaran dan keinsafan umat Melayu boleh berani buat perubahan, mengapa tidak masyarakat Cina dan India yang sepatutnya juga lebih celik politik turut melakukan perkara yang sama. PAS sedar ia bukan tugas yang mudah. DAP yang ekstrem dan kini berpengaruh dalam Kerajaan PH-BN sudah pasti akan bertindak.

Selama ini merekalah yang berjaya menakut dan memomokkan masyarakat bukan-Melayu terhadap PAS sehinggakan sebahagian besar percaya bahawa jika PN dan PAS berkuasa habis kepentingan masyarakat bukan-Melayu akan terhakis dan terkorban. Mereka sesungguhnya bukannya tidak mengenali PAS, tetapi akibat kuat dan berpengaruhnya DAP dan penguasaan parti ini pada media sosial dan media berbahasa Cina khasnya, DAP lebih dipercayai.

Hari ini pun Penasihat Kumpulan Akhbar The Star Wong Chun Wai dalam kolumnnya di The Sunday Star (29/10) menulis bahawa kononnya PAS tidak memahami realiti masyarakat majmuk di Malaysia. Kononnya PAS lebih mementingkan isu-isu patuh syariah dan mahu memaksa pelaksanaan perundangan Islam sepenuhnya dari memperjuangkan isu lain yang lebih penting.

Beliau mahu menggambarkan yang hasrat PAS untuk memenangi undi bukan-Islam itu sia-sia kerana PAS tidak bersedia memisahkan dirinya dari realiti sebenar.

Tulisan Wong ini saling tak tumpah dakyah yang dilemparkan DAP selama ini. Anehnya beliau bukan sekadar penasihat akhbar The Star, beliau juga hari ini Pengerusi agensi berita nasional atau BERNAMA.

Di bawah Akta Bernama, Seksyen 6 Matlamat BERNAMA menyebut, 6 (c) untuk melaporkan secara benar dan patut, tanpa menjejaskan kepentingan awam dan negara, pandangan semua golongan penduduk Malaysia. 

Dalam hal ini benarkah PAS mahu memaksa pelaksanaan Undang-undang Syariah ke atas masyarakat bukan-Islam? Sedangkan realitinya Undang-undang Syariah di Malaysia hanya terkena pakai atas semua masyarakat Malaysia yang beragama Islam sahaja.

Tidak mengapalah jika itu taraf Pengerusi BERNAMA bawah Kerajaan PH-BN.

PAS sedar jika masyarakat Melayu Islam yang selama ini kuat berpayung pada Umno boleh bertekad meninggalkan Umno kerana kualiti kepimpinannya yang merosot, tidak mustahil jika penerangan yang baik dan jelas diberikan kepada masyarakat bukan-Melayu, mereka juga akan beransur-ansur dapat melihat kebenaran dan akhirnya juga berani mengundi PN dan PAS.

PAS tidak pernah mendiskriminasi atau menyakiti masyarakat bukan-Melayu. Tidak sejak ia memerintah Kelantan dari 1959 hingga 1978 (19 tahun) dan kali kedua dari 1990 hingga kini (33 tahun). Tidak juga di Terengganu dari 1959 hingga 1961 (hampir 2 tahun), kemudian 1999 hingga 2004 ( 5 tahun) dan ketiga dari 2018 hingga kini (lebih 5 tahun). Demikian juga di Kedah dan Perlis.

Yang penting masyarakat bukan-Islam terpelihara kehidupan mereka, bebas mengamalkan agama dan budaya serta menjalankan perniagaan dan kehidupan tanpa gangguan bawah kerajaan yang bersih, telus, tidak korup yang pemimpinnya bermoral. Selamat perniagaan dan keluarga masing-masing.

Kita akan usahakan walau DAP melancarkan roket fitnah dan tipu daya dengan bantuan mereka seumpama Wong. Malaysia perlukan kepimpinan yang baik, yang boleh beri keadilan dan kesaksamaan pada semua, melahirkan sebuah negara yang aman damai, bersatu-padu. Kekuatan itu ada pada PN dan PAS bukannya PH-BN. Kita akan usahakan.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -