
KUALA LUMPUR: Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) meminta kerajaan menyatakan perancangan masa depan Kementerian Pertahanan berhubung pemetaan dasar laut.
Katanya, ini berikutan sejak 2018, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melucut tauliah Kapal Diraja (KD) Mutiara yang menjalankan kerja berkenaan.
“Nyatakan perancangan masa hadapan Kementerian Pertahanan bagi kerja-kerja pemetaan dasar laut oleh Pusat Hidrografi Nasional (PHN),” katanya ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, TLDM menerusi PHN tetap melaksanakan kerja pemetaan tersebut walaupun KD Mutiara telah dilucut tauliah.
“TLDM menerusi PHN melaksanakan pemetaan dasar laut melalui KD Perantau, kita juga menggunakan dua buah kapal yang disewa melalui kontrak perkhidmatan pengukuran untuk tempoh tiga tahun mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2024,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023











