
GAZA: Israel berterusan mengebom Semenanjung Gaza ketika ia bersedia untuk serangan darat yang dikatakan bertujuan untuk memusnahkan kumpulan pejuang Palestin Hamas ketika Rusia memberi amaran konflik itu boleh merebak ke luar Timur Tengah.
Di Gaza yang dikepung, bekalan kemanusiaan sangat rendah, kerana kuasa dunia gagal bersetuju untuk meredakan pertempuran untuk menyampaikan bantuan, dan penduduk mengebumikan mangsa-mangsa yang maut di kubur secara beramai-ramai ketika jumlah orang awam yang meninggal dunia dan cedera meningkat.
Dalam tanda Israel meluaskan serangan ke Gaza melalui darat yang bermula pada hujung minggu ini, Israel berkata tentera daratnya mahu menyerang berbilang sasaran di kawasan yang dikuasai Hamas pada hari ini, Khamis (26 Okt) sebelum berundur, dalam apa yang disifatkan oleh Radio Tentera sebagai pencerobohan terbesar semasa peperangan, lapor Reuters.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, dalam ucapannya padaRabu (25 Okt) berkata bahawa masa depan harus merangkumi negara Israel dan Palestin bersebelahan.
“Rakyat Israel dan Palestin sama-sama layak untuk hidup berdampingan dengan selamat, bermaruah dan aman,” kata Biden pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang melawatnya di Washington ketika ini. – HARAKAHDAILY 26/10/2023




















