
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengemukakan perancangan membantu pekebun kecil getah yang berdepan masalah penyakit luruhan daun pokok getah.
Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berkata, penyakit ‘pestalotiopsis’ mengancam hasil dan pendapatan pekebun kecil getah seluruh negara jika penularan itu tidak segera dikawal
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan peruntukan mencukupi bagi pekebun kecil getah berhadapan masalah daun yang gugur dan pokok tidak mengeluarkan susu getah berkualiti.
“Apakah perancangan Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk memastikan peruntukan yang mencukupi bagi tujuan menangani penyakit luruhan daun pokok getah sebagai usaha membantu pekebun kecil getah seluruh negara.
“Keadaan ini berikutan cuaca panas yang boleh menjejaskan dan pengurangkan produktiviti tanaman getah,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menangani masalah ini.
Beliau berkata, usaha itu bagi membolehkan peruntukan kementerian dapat disalurkan kepada agensi di bawah KKDW iaitu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Katanya, Risda diberikan amanah untuk membantu pekebun kecil getah yang terlibat dengan ancaman wabak itu, malah mencadangkan kerjasama kedua-dua kementerian dibuat secara integrasi.
“Ini dibuat secara besar-besaran untuk membantu, setakat ini laporan yang kita terima keadaan bertambah baik dari segi projek yang dilaksanakan dengan bantuan yang ada. – HARAKAHDAILY 26/10/2023











