
BANGI: Langkah dan usaha Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang giat membuka seberapa banyak pintu atau ruang jaringan kerjasama di peringkat global akan menjadi tidak bermakna sekiranya tiada sambutan di dalam negara.
Sehubungan itu, institusi pendidikan tinggi (IPT) digesa menonjolkan bidang tujahan masing-masing termasuk yang berkaitan program profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama antara MQA dengan badan profesional mampu menarik minat pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia, dan seterusnya meningkatkan imej pendidikan tinggi negara di persada global.
Susulan itu, pihaknya telah ditugaskan untuk membuka seberapa banyak jaringan dengan badan jaminan kualiti di peringkat global; dan usaha itu sedang giat dilakukan.
“Namun, pembukaan pintu atau ruang itu tidak bermakna sekiranya tiada sambutan di dalam negara, justeru IPT perlu menonjolkan bidang tujahan masing-masing termasuk yang berkaitan program profesional.
“Kita perlu memudah cara proses tertentu dalam usaha menjadikan negara ini menjadi destinasi pilihan global untuk pelajar antarabangsa terutama negara fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari Asia Tengah, Asia Barat dan China,” jelasnya.
Menurut beliau, dalam era baharu MQA, pihaknya lebih fleksibel dan dinamik termasuk hal ehwal proses dan prosedur program membabitkan badan profesional yang mungkin perlu dilihat semula supaya selari dan sesuai dengan kehendak semasa.
“Perkara yang baik memang perlu diteruskan, namun dengan pendekatan berbeza bukan statik, ia perlu ditambah baik kerana jika kita sukar atau enggan berubah, maka kita akan ketinggalan berbanding negara-negara lain,” ujarnya.

meningkat kualiti pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sesi Libat Urus MQA bersama Badan Profesional, di sini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim; dan Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains dan Perubatan), Abdul Saman Taip; serta 110 wakil dari 24 badan profesional serta ahli Mesyuarat Jawatankuasa Akreditasi.
Sesi yang julung-julung kali dianjurkan Bahagian Akreditasi Sains dan Perubatan itu merupakan satu daripada inisiatif MQA untuk terus mewujudkan kerjasama strategik bersama semua badan profesional tempatan.
Sementara itu, Khairul Salleh dalam ucapan penutup berkata, melalui usaha berkenaan, MQA akan meneliti dan memperhalusi semua isu dan cadangan yang dibangkitkan oleh badan-badan profesional dengan mengambil kira semua prosedur dan peruntukan perundangan sedia ada.
“Sesi libat urus secara spesifik juga akan diadakan dengan setiap badan profesional secara berterusan bagi menambah baik proses penilaian sedia ada.
“Kerjasama erat dengan semua badan profesional amatlah diperlukan bagi memastikan proses penilaian berjalan lancar dan memenuhi aspirasi semua pihak berkepentingan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2023




















