Muktamar Pemuda ke 64: Menyimpul ukhuwwah, menjulang tekad anak muda

- Advertisement -

SHAH Alam minggu ini akan menjadi fokus abnaul harakah untuk berhimpun memintal ukhuwwah, memerah akal dan bersolidariti bersama saudara akidah di Gaza. Pusat pentadbiran negeri Selangor ini beberapa kali dimenangi oleh PAS dan menjadi tempat pemukiman sebahagian kelompok kelas menengah Melayu. Sebahagiannya di zaman muda adalah peserta kebangkitan semula Islam yang mendapat tarbiah dan dikaderkan dalam dekad 70-an, 80-an dan 90-an. Shah Alam dengan susun atur sebagai bandar majoriti Muslim menjadi pusat pelbagai acara berprestij seperti pesta buku, seminar, tilawah al Quran, forum antarabangsa dan lain-lain acara.

- Advertisement -

Muktamar PAS Pusat dan dewan-dewan kali ini memilih bandar raya Shah Alam sebagai tapak acara terbesar gerakan Islam tertua negara ini, dalam euforia kesedihan pembantaian di bumi Gaza dan sekitarnya. Selangor bukanlah asing untuk ahli-ahli PAS berhimpun terutama di zaman milenea kerana PAS pernah menjadi rakan sekutu dalam pentadbiran kerajaan Selangor. Stadium Melawati, juga Stadium Kuala Selangor antara yang pernah medan perhimpunan ahli-ahli dan pimpinan PAS, selain Markas Tarbiah Taman Melewar yang ikonik sebagai tempat percetakan kader-kader PAS selama puluhan tahun.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (kini DPPM) jika menurut norma yang biasa turut dihadiri tetamu-tetamu jemputan daripada dalam dan luar negara, contohnya wakil Hamas, Ikhwanul Muslimin, Partai Keadilan Sejahtera, pernah ada wakil daripada Afghanistan dan Turki serta pelbagai gerakan Islam yang lain. Rakan rakan parti bersama dalam pemuafakatan politik serta pelbagai NGO.  PAS sebagai sebuah harakatul ummah yang sentiasa berjiwa besar dan mendepangkan tangan kepada apa sahaja usaha memartabatkan Islam di tanah leluhur ini. Kali ini pimpinan DPPM dengan tegas telah membatalkan jemputan kepada wakil Kedutaan Amerika, United Kingdom dan juga Singapura kerana bersolidariti bersama rakyat Palestin.

Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi, seorang guru agama yang dikenali di sebelah utara Semenanjung. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50-an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi, Ustqz Baharuddin Latif dan lain-lain nama besar dalam perjuangan. Tidak pelik jika Muktamar Pemuda PAS Pusat diadakan di sekolah agama rakyat sebagai simbolik pasak kekuatan ‘parti lebai’ ini. Penulis di era Salahuddin Ayub pernah DPPP mengadakan Muktamar di Madrasah Alfaizin Guar Chempedak, bahkan kekuatan PAS Kedah sampai sekarang masih bertunjang di pondok dan madrasah.

Sejujurnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia adalah entiti parti yang paling dinamik, memicu pesona serta menelurkan pelbagai idea penting kepada badan induk jamaah ini. Sebagai sayap penting, jauh daripada sikap mengampu dan merasa selesa dengan kondisi yang ada. Dewan Pemuda PAS adalah kilang tajnid serta melahirkan generasi pimpinan PAS di sepanjang zaman.

Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956, mengusahakan agar Dr Burhanudin menjadi tonggak utama PAS. Tokoh besar yang berdoktorat daripada Universiti Aligagh India ini bukan kepalang jasanya kepada perjuangan ummah, pernah mendekam dalam penjara British pada pada tahun 1935, 1937 dan pada tahun 1950. Malah di zaman pemerintahan Perikatan, almarhum ditahan di bawah ISA.

Dewan Pemuda dalam dekad 1970-an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik, di mana terlantiknya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat saat itu, Dato’ Mustafa Ali sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah di kalangan anak-anak muda. Aktivis pemuda membantu program pendakwahan skala besar dalam era kebangkitan semula Islam.

Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS sehingga kini. Pemuda PAS telah melangkah gagah di pelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS. Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI dan SMITI, menjadikan PAS sebagai satu-satunya gerakan Islam di dunia ini yang mempunyai kitaran lengkap tarbiah nizomi, daripada prasekolah sehinggalah kolej Universiti.

Gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal pada tahun 1991, yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat mesra rakyat pada kacamata masyarakat awam. Di mana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik. NGO, jaringan sivil yang dibidani oleh Dewan Pemuda PAS Pusat terus menyebar kebaikan dan kepedulian ummat di pelbagai peta luka umat Islam.

Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan Pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqamah memperjuangkan Islam. Pemuda PAS juga menerokai ruang intelektual dengan mengadakan wacana, dialog, seminar untuk menguasai pasaran kelas menengah masyarakat pengundi.

Dewan Pemuda PAS yang menghampiri tujuh dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh, dibuang daerah serta dikucilkan oleh jentera rejim penguasa. Lihatlah era Abdul Samad Gul Mianji, Ustaz Jais Anwar, Ustaz Hassan Shukri, Cikgu Mustafa Ali, Ustaz ABC, Dewan Pemuda mendobrak kezaliman rejim dan mencetus idea-idea baru dalam jamaah Islam ini. Maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak selesa, dingin intelek serta suram keberanian.

Muktamar Pemuda PAS Malaysia kali ke-63 tahun lepas, lontaran harapan dan misi Ketua Pemuda, Ustaz Fadhli Shaari, pemuda generasi sejahtera yang mempunyai pakej lengkap kompetensi, mempunyai tampang pemuda haraki dan sufi, memadukan antara kemapanan ilmu dan keberanian di lapangan amal. Memiliki ilmu yang luas, membina jaringan sosial yang baik demi mengarusperdanakan perjuangan. Pemuda PAS terbukti sebagai agen paling hadapan dalam harakatul ummah yang kini mempunyai 43 MP dan juga 148 Adun di seluruh negara. PAS menang bergaya dalam PRU15 pada 19 November 2022 dan PRUN 12 Ogos 2023, Pemuda PAS terbukti berjaya merengkuh sokongan dan dukungan anak-anak muda di saluran empat dan lima.

Teruskan era pengukuhan jamaah ini, era tamkin serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhatillah. Terjemahkan di lapangan amal ucapan tema Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, moga Allah merahmati kalian wahai anak muda. Aku merindui anak-anak muda demonstran, bukannya anak-anak muda yang bermuka licin seperti seperti artis K-pop atau pemuda berkain batik! – HARAKAHDAILY 18/10/2023

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Tetap DPPM.

- Advertisement -