
KOTA BHARU: Majlis Syura Ulamak PAS menggesa umat Islam seluruh dunia terutama negara-negara Islam menolak normalisasi terhadap zionis Yahudi serta kerajaan haram Israel yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.
Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, usaha normalisasi dengan zionis Yahudi yang merupakan talian hayat kepada rejim penjajah itu perlu ditolak dan disanggah dengan tegas kerana langsung tidak memberikan sebarang keuntungan kepada perjuangan rakyat Palestin.
Beliau berkata, Majlis Syura Ulamak mengikuti secara dekat pertempuran yang sedang berlaku antara pejuang Palestin dan tentera zionis Israel hari ini.
“Rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sedang berhadapan dengan serangan yang amat dahsyat oleh tentera rejim zionis Israel yang telah mengakibatkan kemusnahan besar di bandar Gaza termasuk kediaman, masjid, sekolah dan hospital.
“Serangan Taufan al-Aqsa yang dikepalai oleh Hamas dan disokong oleh semua Gerakan perjuangan lain sememangnya paling sesuai dalam konteks untuk membebaskan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa setelah siri rundingan yang dibuat oleh masyarakat antarabangsa dilanggar oleh rejim Zionis Israel dengan rakus dan kejam,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya juga menjadi dalang di sebalik pelanggaran perjanjian tersebut sehingga bumi Palestin sentiasa bermandi darah para syuhada.
Tambahnya, Kementerian Pertahanan negara haram Israel telah mengarahkan supaya diputuskan segala sumber makanan, elektrik, air dan petroleum terhadap Semenanjung Gaza.
Sehubungan itu, tegasnya Majlis Syura Ulamak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Yahudi yang tidak berperikemanusiaan itu dengan segala bentuk penindasan terhadap umat Islam Palestin yang mana ia merupakan jenayah antarabangsa yang perlu disekat dan dihalang oleh dunia dengan apa cara sekalipun.
Oleh yang demikian, katanya, atas dasar keimanan dan kemanusiaan serta demi mempertahankan tanah berdaulat Palestin dan Masjid al-Aqsa, Majlis Syura Ulamak menyeru kepada semua umat Islam supaya bangkit mempertahankan kedaulatan dan kesucian Masjid al-Aqsa dengan pelbagai cara sama ada memberikan sokongan moral, bantuan kewangan serta sentiasa melakukan qunut nazilah memohon keselamatan untuk umat Islam Palestin. – HARAKAHDAILY 15/10/2023




















