
ROMPIN: Seramai 120 orang peserta telah menyertai Program ‘Hiking’ Bukit Sembilan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad sempena Hari Sukan Negara, hari ini.
“Bukit Sembilan perlu dijadikan salah satu destinasi pelancongan dan perlu dipromosikan dengan lebih meluas terutamanya kepada pencinta alam,” ujar Nazri.
Menurutnya, tidak ramai yang tahu tentang kewujudan Gua Sembilan di puncak bukit itu.
Katanya, sekitar Bukit Ibam terdapat beberapa destinasi yang menarik seperti Jeram Air Leleh, Tasik Biru dan Bukit Sembilan dengan panorama yang patut dinikmati oleh orang ramai.
Program anjuran NGO Amal Rompin Cakna dan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bukit Ibam itu bertujuan mempromosikan Bukit Sembilan sebagai salah satu destinasi pelancongan kepada orang ramai.
Peserta mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke puncak yang berketinggian 491 meter dari paras laut.
Program yang bermula jam 7.30 pagi diisi dengan ucapan ringkas, pendakian santai dan perasmian papan tanda di puncak bukit.
Peserta juga berpeluang memasuki Gua Sembilan yang terdapat di puncak bukit.
Rata-rata peserta berpuas hati dapat mendaki Bukit Sembilan dan mengharapkan program sebegitu dapat diadakan lagi. – HARAKAHDAILY 15/10/2023





















