
KANGAR: “Serahkan kembali Masjidil Aqsa kepada umat Islam dan hentikan kezaliman yang berlaku ketika ini.”
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyeru agar semua rakyat di negara ini bersatu menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
“Tidak perlu lagi berbolak balik dalam hal ini, semua perlu bersatu dan memberi sepenuh sokongan kepada mereka.
“Jika seluruh negara Islam bersatu, Islam akan menjadi kuat dan tidak ada perkara yang akan melemahkan kita,” katanya selepas Himpunan Aman Solidariti bersama rakyat Palestin di Dataran Masjid Alwi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Haziq Asyraf Dun berkata, sokongan kepada Palestin akan disemarakkan lagi aktiviti susulan oleh pelajar PASTI.
“Kita akan ada program susulan bagi menggalakkan anak-anak cakna dengan isu ini. Di peringkat Pemuda PAS juga kita akan anjurkan beberapa program lagi selepas ini” ujarnya.
Hampir 1,000 orang hadir pada himpunan itu yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS negeri Perlis.
Turut hadir ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Baharudin Ahmad dan Mufti Negeri, Prof Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainal Abidin. . – HARAKAHDAILY 13/10/2023




















