
KOTA BHARU: Lebih 1,000 rakyat Kelantan berkumpul di Medan Ilmu Jalan Dato’ Pati bagi menyatakan solidariti terhadap nasib yang dihadapi penduduk Gaza.
Mereka memakai kain merah di kepala bersama selendang bendera Palestin bagi menyatakan sokongan terhadap pejuangan pembebasan al Aqsa yang diterajui Bridged al Qassam.
Sekitar kawasan yang menjadi lokasi Pejabat Badan Perhubungan PAS Kelantan turut dipenuhi poster, gambar serta bendera mengandungi warna hijau, merah, hitam dan putih.
Himpunan aman itu diadakan selepas Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud selesai menyampaikan kuliah minggu di Medan Ilmu.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; timbalannya, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Setiasuaha, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.
Selain wakil Dewan Ulama PAS Kelantan, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS serta beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).
NGO tersebut antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Cakna Palestin Cawangan Kelantan, Skuad Cakna Orang Kelainan Upaya (OKU) dan banyak lagi.
Bendera Palestin dikibar sebagai menyahut arahan Presiden PAS, Tan Sri Tian Guru Abdul Hadi Awang bagi menzahirkan sokongan.
Himpunan itu bermula dengan laungkan lafaz dan ikrar wehdah beramai-ramai yang diketuai Ustaz Abdul Fatah Jaafar.
Sementara itu Ustaz Ahmad berkata perhimpunan aman diadakan untuk menyatakan solidariti kepada penduduk Gaza yang dizalimi ketika ini.
Katanya perjuangan rakyat Palestin memerlukan sokongan setiap lapisan masyarakat di Malaysia untuk berhadapan kekejaman dan kezaliman rejim Zionis Yahudi.
“Perjuangan mereka mendapat sokongan penuh daripada kita insyaAllah hari ini kita bersama-sama menunjukkan solidariti tinggi dan kita sentiasa menggambil berat nasib mereka.
“Kita harap ini adalah kebangkitan seterusnya untuk berhadapan Zionis Yahudi dan kita tidak akan ketinggalan memberi bantuan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Wan Roslan pula berkata, Israel melanggar sempadan kemanusiaan dan peperangan apabila turut menyerang kanak-kanak, hospital, orang-orang tua dan sebagainya.
Menurutnya, kerosakan itu turut berlaku terhadap masjid yang dibina hasil derma orang ramai daripada Malaysia dan Kelantan.
“Ketika itu kita lancarkan Aid Palestin 2.0 sehingga berjaya memungut RM2 juta untuk membina pelbagai premis termasuk masjid, sebahagian besarnya telah musnah,” ujarnya.
Katanya umat Islam sekali lagi diseru menyumbang untuk tujuan yang sama bagi membantu umat Islam di Palestin yang telah meragut 1,300 orang. – HARAKAHDAILY 13/10/2023












